
PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, membawakan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik PROTON e.MAS lebih dekat kepada rakyat Sabah menerusi pameran lima hari di Suria Sabah, Kota Kinabalu.
Pameran itu berlangsung di Atrium Utama, Aras Bawah, Suria Sabah bermula 7 hingga 11 Oktober, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Sepanjang tempoh itu, pengunjung berpeluang menyaksikan secara dekat keseluruhan barisan model Proton e.MAS, menikmati sesi pandu uji serta tawaran istimewa dan pelbagai aktiviti menarik.
Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff berkata, pameran itu bertujuan memberi peluang kepada pelanggan di Sabah merasai sendiri pengalaman mobiliti elektrik.
“Pembelian kereta adalah satu keputusan besar. Sebab itu kami mahu pelanggan di Sabah berpeluang melihat sendiri kenderaan PROTON e.MAS, mencubanya dan berbual dengan penasihat jualan.
“Sama ada anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada kenderaan elektrik atau sekadar ingin tahu tentang EV, kami mengalu-alukan kedatangan anda,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, jelajah ke Sabah mencerminkan komitmen PRO-NET untuk mendekati lebih ramai rakyat Malaysia di luar Semenanjung.
“Sabah adalah pasaran yang penting bagi kami. Kami akan terus mengukuhkan rangkaian jualan, perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan pengecasan di seluruh negara agar pemilikan EV menjadi lebih mudah dan praktikal,” katanya.
Jelajah itu diadakan ketika PROTON e.MAS, yang merupakan jenama kenderaan elektrik nombor satu di Malaysia, terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan penghantaran melebihi 40,000 unit dalam tempoh 20 bulan sejak jualan PROTON e.MAS 7 dimulakan.
Di Suria Sabah, pengunjung berpeluang mengenali tiga model utama iaitu PROTON e.MAS 5 yang merupakan model EV nombor satu di Malaysia, PROTON e.MAS 7 sebagai EV nasional pertama Malaysia, dan PROTON e.MAS 7, model PHEV terlaris di Malaysia.
PROTON e.MAS kini disokong oleh 60 pusat pengedar di seluruh negara dengan lebih 1,600 tenaga profesional – jualan dan selepas jualan – terlatih, dan menyasarkan pengembangan kepada 70 pengedar menjelang akhir tahun ini, termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat badan dan cat.
Dari segi infrastruktur, Peta Pengecasan Langsung PROTON e.MAS kini memaparkan lebih 5,100 titik pengecasan serta status masa nyata pengecas melalui sistem navigasi dalam kenderaan dan aplikasi PROTON e.MAS, termasuk lebih 2,000 titik di lebih 700 pangsapuri dan kondominium.
Sepanjang jelajah, pelanggan yang membuat tempahan ditawarkan :
- pemasangan wallbox percuma
- insentif tukar beli sehingga RM10,000
- kadar faedah istimewa serendah 2.1 peratus melalui Affin Bank
Pelanggan yang membuat tempahan sepanjang jelajah itu turut berpeluang menikmati diskaun 10 peratus di Montanic Adventure Store.
Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk :
- aktiviti Find MECCHA CHAMELEON
- edaran minuman ZUS Coffee
- sesi perkongsian EV merangkumi pembentangan produk
- sesi soal jawab pada 10 dan 11 Oktober
Dalam pada itu, Brilliant Solar turut menawarkan diskaun dua peratus untuk sistem solar kepada pengunjung yang mendaftar dan membayar deposit RM1,000, dengan 20 pelanggan terawal layak menerima kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM100, tertakluk kepada terma dan syarat.
































