
Beberapa pengguna media sosial mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah, termasuk gagal dihidupkan selepas mengisi minyak di Petron dan Caltex di Pulau Pinang yang dipercayai masalah berkenaan disyaki berpunca daripada bahan api bercampur air.
Susulan perkongsian beberapa pengguna kereta yang mengalami kerosakkan, Petron dan Caltex tampil memberi kenyataan.
Susulan siasatan yang dijalankan, Petron Malaysia menyatakan bahan api RON95 yang dijual di stesen milik mereka mematuhi spesifikasi produk yang ditetapkan dan tiada bukti pencemaran termasuk air dikesan.
“Petron Malaysia akan terus memastikan produk kami kekal berkualiti dan selamat di semua stesen minyak Petron,” jelasnya.
Sementara, Caltex Malaysia menjelaskan pihaknya telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh di stesen minyak.
“Disahkan bahan api yang dibekalkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
“Kami memandang serius perkara ini dan kekal komited untuk memastikan piawaian kualiti yang ketat terus dipatuhi bagi produk dan perkhidmatan kami.
“Kami akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan sekiranya diperlukan,” jelasnya menjawab dakwaan mengenai kualiti bahan api di sebuah stesen servis Caltex di Batu Kawan.




