
Jenama automotif nasional, PROTON terus mencatatkan pertumbuhan jualan kukuh menerusi jualan terkumpul sebanyak 160,886 unit bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pencapaian itu disokong prestasi jualan sebanyak 19,465 unit pada September, sekali gus membolehkan PROTON mengatasi jumlah keseluruhan jualan 2025 sebanyak 157,976 unit dalam tempoh hanya sembilan bulan.
Pencapaian berkenaan merupakan paling awal PROTON melepasi paras 150,000 unit jualan sejak 2002, serta merekodkan jumlah tertinggi sejak kerjasama dengan Geely bermula pada 2017.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, syarikat turut mencatatkan prestasi suku ketiga terbaik sejak 2009 dengan jualan sebanyak 60,540 unit.
“Walaupun kejayaan ini amat membanggakan, PROTON tidak akan memperlahankan momentum.
“Kami masih mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi pelancaran sebelum akhir tahun ini, manakala perniagaan eksport menyasarkan pertumbuhan lebih tinggi bagi kenderaan berjenama PROTON dan Geely dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pengeluaran jualan September itu melonjak 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan jualan tahun-ke-tarikh (YTD) sebanyak 40.8 peratus.
Pegangan pasaran PROTON bagi September dianggarkan sebanyak 28.9 peratus manakala pegangan YTD berada pada paras 26.9 peratus.
PROTON Saga kembali merampas takhta sebagai model terlaris di Malaysia selepas mencatatkan jualan 8,701 unit pada September, menjadikan jualan terkumpul YTD model tersebut sebanyak 68,237 unit iaitu peningkatan 34.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi model lain, PROTON S70 merekodkan jualan YTD sebanyak 20,709 unit selepas 2,756 unit terjual pada bulan lalu, sekali gus melepasi jualan keseluruhan tahun 2025.
PROTON X50 kekal menerajui SUV Segmen-B dengan jualan YTD 20,163 unit, manakala PROTON X90 terus memimpin SUV Segmen-D tujuh tempat duduk dengan jualan YTD 3,250 unit, melonjak 69.8 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, cabang kenderaan elektrik PROTON, PRO-NET menyerahkan 40,000 unit model xEV PROTON e.MAS dalam tempoh 20 bulan sejak memulakan jualan, dengan model PROTON e.MAS 5 sahaja menyumbang lebih 20,000 unit penyerahan.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, jualan model PROTON e.MAS kini menyumbang 19.3 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan PROTON, yang semakin menghampiri sasaran 20 peratus kenderaan xEV yang ditetapkan Kerajaan Malaysia menjelang 2030.
Bagi pasaran luar negara, PROTON mengeksport 1,311 unit pada September dari kilang Tanjong Malim, membawa jumlah eksport terkumpul YTD kepada 7,370 unit.































