Utama Berita Automotif Banjir: Honda & Toyota henti sementara pengeluaran di Thailand

Banjir: Honda & Toyota henti sementara pengeluaran di Thailand

6

Syarikat pengeluar automotif Honda dan Toyota dilapor menghentikan sementara pengeluaran kenderaan di semua kilang pemasangan mereka di Thailand. 

Keadaan ini adalah disebabkan oleh banjir teruk yang menjejaskan laluan pengangkutan dan menghalang pembekal daripada menghantar komponen automotif. 

Gangguan bekalan tersebut berlaku selepas beberapa hari hujan lebat dan banjir melanda banyak kawasan termasuk laluan logistik utama serta zon industri. 

Menurut Koji Iwanami, Presiden dan CEO Honda Thailand berkata, syarikat itu menghentikan sementara pengeluaran di Prachin Buri dan Ayutthaya dari 2 hingga 6 Oktober. 

Honda turut membenarkan pekerja yang terjejas akibat banjir untuk mengambil cuti bagi menjaga keselamatan keluarga dan mengurus kerosakan harta benda. 

Honda menjangkakan operasi akan kembali normal pada 7 Oktober. 

Gambar: FB Khaosod English

Sementara itu, Toyota Thailand menghentikan sementara operasi di tiga kilang pemasangan utama, iaitu di Samrong (Samut Prakan), Ban Pho dan Gateway (Chachoengsao), serta sebuah kilang milik Toyota Auto Works. 

Toyota menegaskan penutupan ini hanyalah sementara dan tidak akan menyebabkan pengurangan kapasiti jangka panjang. 

Pimjai Leeissaranukul, Pengerusi Persekutuan Industri Thailand (FTI) menjelaskan kira-kira 40% ahlinya terjejas akibat banjir baru-baru ini. 

FTI turut menganggarkan kerugian mencecah 1.018 bilion baht (RM123 juta), merangkumi kerosakan mesin dan sistem elektrik, kehilangan bahan mentah, kerosakan kenderaan, kerugian tidak langsung akibat kilang ditutup, serta peluang perniagaan yang hilang. 

Namun FTI menjangkakan pengeluaran kenderaan akan kembali normal apabila sistem perparitan pulih dan keadaan bertambah baik di kawasan industri serta logistik utama. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here