
Jentera adventure-touring berprestasi tinggi Ducati Multistrada V4 S kini menerima naik taraf yang lebih fokus kepada aktiviti pengembaraan standard dari kilang.
Dikenali sebagai Multistrada V4 S Grand Tour, versi ini jauh lebih lengkap berbanding model V4 S sedia ada dan direka untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera lengkap untuk tujuan perjalanan jauh.
Antara penambahan yang paling ketara ialah kehadiran kotak storan sisi 60 liter yang sepadan warna badan, diikuti pemasangan topang tengah sebagai ciri standard.
Selain itu, versi Grand Tour ini turut mendapat ciri seperti pemanas grip bar hendal, penanas pelana untuk penunggang dan pembonceng, penutup tangki minyak tanpa kunci, serta pemasangan lampu tambahan termasuklah lampu kabus belakang.
Dari segi keselamatan, Multistrada V4 S Grand Tour mengekalkan ciri seperti kawalan jelajah adaptif, sistem pengesanan titik buta, amaran pelanggaran hadapan serta sistem pemantauan tekanan tayar.
Antara ciri lain yang memudahkan penunggang termasuklah Automatic Lowering Device yang menurunkan ketinggian motosikal sehingga 30 mm pada kelajuan bawah 10 km/j, serta suspensi hidraulik Easy Lift yang membantu penunggang mengangkat motosikal daripada topang sisi.
Dari segi visual, V4 S Grand Tour didatangkan dengan liveri grafik merah serta penjenamaan Grand Tour, diikuti kemasan hitam pada bahagian kerangka, lengan ayun, serta bar hendal.
Jentera ini masih mengekalkan enjin V4 Granturismo 1,158 cc yang mampu menjana kuasa 170 hp dan 123.8 Nm.
Ia turut hadir dengan ciri seperti suspensi semi-aktif Skyhook, serta skrin paparan TFT 6.5 inci lengkap dengan kemudahan navigasi.
Ducati Multistrada V4 S Grand Tour ini akan tiba di pasaran Eropah bermula November 2026, sementara pasaran Asia & Australia pula bermula April tahun depan.






