Utama Berita Automotif Ducati Multistrada V4 Pikes Peak 2027 dengan grafik baharu, lebih meriah bawa...

Ducati Multistrada V4 Pikes Peak 2027 dengan grafik baharu, lebih meriah bawa inspirasi MotoGP

7

Ducati memperkenalkan grafik baharu untuk Multistrada V4 Pikes Peak 2027 sempena tahun keseratus syarikat.

Rekaan grafik diinspirasikan daripada jentera Desmosedici GP dan Panigale V4 R pasukan rasmi Ducati dalam Kejuaraan Dunia MotoGP dan Superbike.

Grafik eksklusif itu dihasilkan oleh Centro Stile Ducati dengan kerjasama Drudi Performance.

Grafik baharu menggabungkan elemen jentera perlumbaan Ducati melalui kombinasi warna dan kemasan permukaan yang menonjolkan karakter sporti motosikal berkenaan.

Multistrada V4 Pikes Peak dibangunkan berasaskan kejayaan Ducati dalam perlumbaan mendaki bukit Pikes Peak dan berasal daripada konsep asal Multistrada 1200.

Model ini menggabungkan ciri sebuah crossover berprestasi tinggi dengan enjin superbike Ducati dan roda 17 inci.

Ia turut dilengkapi lengan ayun sebelah, suspensi long-travel, panel badan pelindung serta posisi tunggangan ergonomik, selain keupayaan membawa bagasi.

Multistrada V4 Pikes Peak 2027 sudah tersedia di pengedar Ducati di Eropah.

Grafik Baharu dan Kelengkapan

Untuk menyerlahkan karakter sporti, Multistrada V4 Pikes Peak dilengkapi beberapa komponen gentian karbon serta penyenyap titanium Akrapovič yang diluluskan untuk kegunaan jalan raya.

Antara ciri lain ialah cermin angin rendah berwarna gelap, tiub fork Öhlins dengan kemasan anod emas, pelana dengan logo V4 dan lencana Ducati Corse pada bahagian paruh depan.

Melalui program Ducati Factory Made, pelanggan boleh menyesuaikan motosikal ini dengan roda tempa merah serta angkup brek merah atau hitam.

Pilihan lain termasuk pelana dengan ketinggian berbeza, tambahan komponen gentian karbon, lampu tambahan dan set bagasi penuh yang merangkumi beg sisi serta kotak atas.

Sporti dan Dinamik

Multistrada V4 Pikes Peak direka untuk penunggang yang mahukan karakter lebih dinamik, khususnya ketika menunggang di laluan berselekoh.

Model ini menggunakan rim aluminium tempa lima jejari bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV saiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 190/55 ZR17 di belakang.

Suspensi elektronik separa aktif Öhlins Smart EC 2.0 menggunakan logik event-based yang melaras tetapan berdasarkan fasa tunggangan.

Sistem ini direka untuk memberikan sokongan ketika tunggangan sporty sambil mengekalkan keselesaan ketika perjalanan jauh.

Sistem brek pula dilengkapi Electronic Combined Braking System yang mengagihkan strategi brek dari hadapan ke belakang.

Sistem ini turut mengaktifkan brek belakang apabila penunggang hanya menggunakan brek hadapan.

Enjin V4 Granturismo 1,158cc

Multistrada V4 Pikes Peak menggunakan enjin V4 Granturismo berkapasiti 1,158 cc dengan teknologi Extended Cylinder Deactivation

Enjin itu menghasilkan 170 ps pada 10,750 rpm dan 123.8 Nm pada 9,000 rpm.

Lengkung tork yang linear memberikan tindak balas yang lancar dan progresif pada semua julat rev.

Aci engkol berputar berlawanan arah menggunakan pengalaman Ducati Corse dalam MotoGP bagi mengurangkan kesan inersia giroskopik roda dan membantu pengendalian motosikal.

Mod tunggangan Race turut menampilkan tetapan khusus untuk karakter sporti.

Pemetaan Race menggunakan strategi pengehad rev yang lebih beransur-ansur berbanding Multistrada V4 standard

Quickshifter menerima talaan khusus untuk penukaran gear turun yang lebih agresif.

Ergonomik

Kedudukan tunggangan Multistrada V4 Pikes Peak berbeza daripada Multistrada V4 dengan pemijak kaki diletakkan lebih tinggi dan ke belakang.

Kedudukan itu meningkatkan sudut kecondongan maksimum serta memudahkan pergerakan badan penunggang.

Hendal pula lebih rendah, kurang lebar dan mempunyai bentuk lebih rata.

Keselamatan dan Teknologi

Model ini mengekalkan pakej elektronik daripada Multistrada V4 S, termasuk teknologi radar hadapan dan belakang sebagai kelengkapan standard.

Sistem berkenaan membolehkan fungsi kawalan jelajah adaptif (ACC), pengesanan titik buta (BSD) dan amaran pelanggaran hadapan.

Antara kelengkapan standard lain ialah Bosch-Brembo ABS 10.3ME Cornering, Bosch Inertial Measurement Unit (IMU), Ducati Vehicle Observer (DVO) dan Ducati Wheelie Control (DWC).

Turut dilengkapi Ducati Traction Control (DTC), Engine Brake Control (EBC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan Vehicle Hold Control (VHC).

Ia turut mempunyai 4 Power Modes, 5 Riding Modes iaitu Race, Sport, Touring, Urban dan Wet, lampu utama LED penuh dengan DRL serta Ducati Cornering Lights (DCL).

Enjin mempunyai selang pemeriksaan kelegaan injap setiap 60,000 km.

Ciri-Ciri Ducati Multistrada V4 Pikes Peak 2027

  • Enjin V4 Granturismo 1,158 cc, 172 PS@10,750 rpm, tork 123.8 Nm@9,000 rpm.
  • Rangka monokok aluminium
  • Subrangka tiub keluli
  • Lengan ayun tunggal aluminium
  • Suspensi Öhlins Smart EC 2.0 event-based
  • Gerakan roda 170 mm depan dan belakang
  • Rim Marchesini aluminium tempa lima jejari, 17 inci
  • Tayar Pirelli Diablo Rosso IV
  • Cakera brek hadapan berkembar 330 mm dengan angkup Brembo Stylema
  • Cakera brek belakang 280 x 6 mm
  • Lampu utama LED penuh dengan DRL dan DCL
  • TFT warna 6.5 inci
  • Bosch IMU
  • 4 Power Modes
  • 5 Riding Modes
  • Ducati Vehicle Observer
  • Ducati Wheelie Control
  • Ducati Traction Control
  • Engine Brake Control
  • Hands-Free ignition
  • Ducati Connect dengan aplikasi telefon, muzik dan navigasi
  • Ducati Quick Shift Up & Down
  • Kawalan Jelajah
  • Vehicle Hold Control
  • Ducati Brake Light EVO
  • Madgad depan gentian karbon
  • Paruh depan gentian karbon
  • Penyenyap Akrapovič yang diluluskan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here