Utama Berita Automotif Ducati Panigale V4 2027 lebih padu!

Ducati Panigale V4 2027 lebih padu!

17

Ducati memperkenalkan Panigale V4 2027 dengan penambahbaikan pada enjin, casis dan elektronik bagi meningkatkan prestasi di litar.

Model baharu ini mencatat purata masa pusingan 0.4 saat lebih pantas berbanding model terdahulu di Litar Vallelunga, Itali.

Enjin Desmosedici Stradale kini menghasilkan 218 hp, meningkat 2 hp berbanding model sebelumnya.

Ducati turut mengemas kini nisbah pacuan akhir, sistem brek elektronik dan rangka hadapan.

Kemas kini tersebut dapat membantu penunggang membrek lebih lewat, memasuki selekoh dengan lebih pantas dan memecut lebih awal ketika keluar dari selekoh.

Enjin Desmosedici Stradale Lebih Berkuasa

Enjin Desmosedici Stradale berkapasiti 1,103 cc menerima beberapa perubahan bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kehilangan kuasa mekanikal.

Antara perubahan tersebut ialah sistem ekzos, saluran kemasukan udara baharu dengan aliran lebih tinggi dan litar pelinciran yang ditentukur semula.

Hasilnya, kuasa maksimum meningkat kepada 218 hp pada 13,500 rpm, manakala tork maksimum ialah 120.6 Nm pada 11,000 rpm.

Peningkatan kuasa paling ketara berlaku antara 12,000 hingga 14,000 rpm, dengan tambahan sehingga 3.5 hp pada 13,000 rpm.

Saluran kemasukan udara baharu turut meningkatkan aliran udara sebanyak 0.6 peratus pada kelajuan 300 km/j.

Selain itu, nisbah pacuan akhir dipanjangkan daripada 16/41 kepada 17/42, manakala had putaran enjin dinaikkan kepada 15,000 rpm bagi gear kedua hingga kelima.

Gabungan perubahan ini membolehkan penunggang menggunakan kuasa enjin pada putaran tinggi dengan lebih berkesan dan mengurangkan pertukaran gear.

Di Litar Vallelunga, penunggang dapat mengurangkan dua pertukaran gear bagi setiap pusingan.

Bagi prestasi lebih tinggi di litar, Ducati turut menawarkan sistem ekzos penuh perlumbaan Akrapovič Full Racing Exhaust PRO sebagai pilihan.

Sistem ini meningkatkan kuasa sebanyak 11 hp dan tork sebanyak 7 Nm, selain mengurangkan berat motosikal sebanyak 6.6 kg.

Casis Dikemas Kini

Ducati mengurangkan kekakuan sisi rangka hadapan (Front Frame) sebanyak 12 peratus.

Perubahanitu dibuat bagi membantu tayar mengekalkan sentuhan dengan permukaan jalan ketika motosikal berada pada sudut kecondongan tinggi.

Selain itu, cengkaman roda hadapan lebih tinggi dan memberikan maklum balas lebih jelas ketika memasuki selekoh.

Penunggang juga boleh mengubah laluan ke arah apex dengan lebih tepat.

Penunggang juga boleh mengekalkan kelajuan lebih tinggi ketika mengambil selekoh dan membuka pendikit lebih awal ketika keluar daripadanya.

Nisbah pacuan akhir baharu turut mengurangkan jarak roda sebanyak 8 mm, menjadikan Panigale V4 S lebih tangkas ketika menukar arah, khususnya di laluan berliku.

Varian V4 S turut menerima hendal jenis clip-on boleh laras untuk kegunaan litar dengan kedudukannya boleh dinaikkan sebanyak 10 mm.

Kedudukan tunggangan menjadi lebih tinggi serta membantu meningkatkan kawalan ketika menukar arah dan membrek kuat dalam tempoh panjang.

Sistem Elektronik Baharu

Panigale V4 2027 menerima dua ciri elektronik baharu, iaitu Dynamic Engine Brake (DEB) dan Race Brake Control (RBC),

Sistem itu berupaya meningkatkan kawalan ketika membrek dan memasuki selekoh.

  • Dynamic Engine Brake (DEB): Menggantikan sistem Engine Brake Control terdahulu dan menggunakan algoritma Ducati Vehicle Observer (DVO) untuk melaraskan kesan brek enjin berdasarkan beban sebenar pada tayar belakang. Sistem ini membantu meningkatkan kestabilan ketika membrek dalam keadaan motosikal condong serta menjadikan tindak balas motosikal lebih konsisten ketika memasuki selekoh.

  • Race Brake Control (RBC): Meningkatkan sumbangan brek roda belakang ketika memperlahankan motosikal, membolehkan cengkaman yang tersedia digunakan dengan lebih berkesan.

Kedua-dua sistem ini berfungsi bersama untuk membantu penunggang membrek lebih lewat dan mengambil selekoh dengan lebih cekap.

Menurut Ducati, gabungan tersebut turut meningkatkan kawalan dan keyakinan penunggang ketika menghampiri had kemampuan motosikal.

Ciri-Ciri Panigale V4 S

Panigale V4 S dilengkapi suspensi elektronik Öhlins, roda aluminium tempa dan sistem brek Brembo Hypure.

Antara kelengkapan standard ialah:

  • Enjin: Desmosedici Stradale, 1,103 cc.
  • Kuasa maksimum: 218 hp pada 13,500 rpm.
  • Tork maksimum: 120.6 Nm pada 11,000 rpm.
  • Berat tanpa bahan api: 187 kg.
  • Tangki bahan api: Aluminium, 17 liter.
  • Suspensi hadapan: Öhlins NPX-30 dengan sistem kawalan Smart EC 3.0.
  • Suspensi belakang: Öhlins TTX 36 dengan sistem kawalan Smart EC 3.0.
  • Peredam hendal: Öhlins dengan sistem kawalan Smart EC 3.0.
  • Sistem brek: Angkup monobloc Brembo Hypure.
  • Tayar: Pirelli Diablo Supercorsa V4 dengan tayar belakang bersaiz 200/60.
  • Aerodinamik: Sayap biplane dengan reka bentuk bersepadu dan plat hujung sisi yang lebih besar.
  • Panel instrumen: TFT 6.9 inci dengan nisbah aspek 8:3.
  • Mod tunggangan: Race A, Race B, Sport, Road dan Wet.
  • Pencahayaan: Sistem LED penuh dengan DRL dan lampu isyarat membelok bersepadu pada lampu utama, bergantung pada pasaran.
  • Pelana: Pelana tunggal, dengan kit pembonceng ditawarkan sebagai aksesori.

Pakej elektronik turut merangkumi Race eCBS dengan fungsi ketika motosikal condong, Ducati Traction Control (DTC) DVO, Ducati Slide Control (DSC).

Lagi sistem elektronik merangkumi Ducati Wheelie Control (DWC) DVO, Ducati Power Launch (DPL) DVO dan Ducati Quick Shift (DQS) 2.0, selain DEB dan RBC.

Motosikal ini turut dilengkapi bateri litium, butang pelarasan pantas tahap sistem dan sokongan pemasangan Ducati Data Logger (DDL) dan Ducati Multimedia System (DMS).

Perbezaan Panigale V4 Standard

Ducati turut menawarkan Panigale V4 standard dengan enjin dan pakej elektronik yang sama seperti V4 S, tetapi menggunakan beberapa komponen berbeza.

Antara perbezaan utama ialah:

  • Berat tanpa bahan api: 191 kg.
  • Suspensi hadapan: Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya.
  • Suspensi belakang: Monoshock Sachs yang boleh dilaras sepenuhnya.
  • Peredam hendal: Sachs.
  • Hendal: Clip-on tetap.
  • Roda: Aloi ringan dengan lima jejari.
  • Bateri: Jenis asid plumbum.
  • Warna: Ducati Red dengan rangka Urban Grey dan roda hitam.

Program Ducati Factory Made

Buat pertama kali, pelanggan Panigale V4 S boleh menempah konfigurasi motosikal terus dari kilang Borgo Panigale melalui program Ducati Factory Made.

Program ini menawarkan 11 pilihan warna, termasuk lima warna daripada program Ad Personam Automobili Lamborghini.

Pilihan warna dibahagikan kepada kategori Icon, Style dan Sophistication, selain lima pilihan Lamborghini. Dua grafik turut ditawarkan, iaitu Performance dan Corse.

Pilihan warna tersebut merangkumi Ducati Red, Ducati Yellow, Thrilling Black, GP19 Red, Aviator Grey, Arctic White Silk dan Arancio Xanto.

Lagi pilihan seperti Giallo Belenus, Verde Scandal, Viola Pasifae dan Blu Uranus.

Pelanggan juga boleh memilih komponen yang diluluskan untuk pemasangan terus di kilang, termasuk pakej brek hadapan PRO dan PRO+, klac kering STM serta pemijak kaki boleh laras.

Pendekatan ini membolehkan motosikal diterima dalam konfigurasi pilihan pelanggan tanpa memerlukan pemasangan komponen tersebut selepas pembelian.

Semua komponen berkenaan dipasang di kilang sebagai sebahagian daripada konfigurasi yang disahkan oleh Ducati.

Jualan Bermula Mac 2027

Ducati Panigale V4 2027 akan mula ditawarkan di pengedar Ducati di Eropah pada Mac 2027, diikuti Amerika Utara pada April 2027.

Pengedaran di negara lain akan menyusul dalam beberapa bulan berikutnya.

Ducati Panigale V4 S 2027

Ducati Panigale V4 2027 – Lamborghini Ad Personam, Warna dan Grafik

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here