
Selepas berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya satu tangki bahan api, Isuzu D-MAX 2.2L TD serba baharu sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila melengkapkan perjalanan dari Sandakan, Sabah ke Kuching, Sarawak tanpa isian semula.
Pencapaian itu dilakar menerusi cabaran D-MAX One Tank. One Nation anjuran Isuzu Malaysia yang menguji dua unit pikap turbo diesel 2.2-liter baharu bagi membuktikan kehebatan dari segi penjimatan bahan api merentasi Sabah dan Sarawak.

Perjalanan di Malaysia Timur itu disifatkan sangat mencabar berikutan permukaan bumi yang pelbagai, memerlukan ketahanan lasak serta melibatkan perbezaan ketinggian ekstrem termasuk pendakian sukar merentasi Banjaran Crocker.
Bagaimanapun, dengan enjin baharu yang menawarkan peningkatan kuasa, tork, kelancaran, ketahanan dan kecekapan bahan api yang lebih baik, kedua-dua varian yang digunakan iaitu 4×2 Auto Plus dan 4×4 Automatic Premium berjaya tiba di garisan penamat dengan baki bahan api yang masih banyak.

Lebih mengagumkan, varian 4×2 Auto Plus berjaya mengharungi keseluruhan perjalanan dari bilik pameran Universal Motor Isuzu di Sandakan ke Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu di Kuching tanpa lampu amaran paras bahan api rendah menyala.
Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, cabaran tersebut merupakan platform ideal untuk mempamerkan keupayaan sebenar Isuzu D-MAX baharu dalam keadaan pemanduan sebenar di seluruh negara.
“Memang mudah untuk mendakwa sesebuah kenderaan itu jimat bahan api dengan memandunya di lebuh raya yang rata dan tenang.
“Namun keunggulan Isuzu D-MAX paling terserlah apabila diuji dalam keadaan sebenar, di jalan dan laluan yang digunakan pelanggan kami setiap hari.
“Ini bermakna, meredah jalan raya utama yang sempit dan sesak dengan lori, memasuki jalan yang sedang dalam pembinaan, malah merentasi Banjaran Crocker di Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia dengan yakin, dan bukannya mengelak laluan seperti itu,” katanya.

Cabaran segmen Malaysia Timur itu bermula dari bilik pameran Isuzu di Sandakan, sebelum bergerak ke Telupid yang merupakan lokasi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sedang giat dijalankan.
Konvoi kemudiannya menempuh laluan berbukit menuju ke Kundasang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu, sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui Brunei dengan singgahan di Miri, Bintulu, Sarikei dan Sibu.
Sepanjang laluan berkenaan, terdapat perhentian yang dijadualkan di pusat pengedar Isuzu sebelum menamatkan perjalanan di Kuching setelah menempuh jarak keseluruhan sejauh 1,605 kilometer.
Di beberapa lokasi terpilih, sesi interaksi bersama duta jenama Isuzu D-MAX, Baki Zainal turut diadakan yang mana beliau bertemu peminat dan mengagihkan cenderahati eksklusif sementara menantikan ketibaan konvoi.
Bagi menambah keterujaan, orang ramai turut dipelawa meneka jarak perbatuan sebenar yang dilalui D-MAX sepanjang cabaran itu secara dalam talian dengan peluang memenangi baucar barangan runcit M5,000, sebagai sebahagian daripada jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 yang ditawarkan.

Rahsia kemampuan Isuzu D-MAX terletak pada enjin TD 2.2 liter serba baharu yang digelar Enjin Terbaik Pernah Dihasilkan yang bukan sahaja memberikan kuasa mengagumkan untuk pecutan selamat dan bertenaga, malah tork tinggi pada putaran enjin rendah membolehkan trak itu mendaki bukit curam menggunakan gear lebih tinggi, sekali gus menjimatkan bahan api.
Digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baharu, Isuzu D-MAX baharu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan kepada pemiliknya.

“Selain penjimatan ketara hasil kecekapan bahan api yang luar biasa, Isuzu D-MAX 2.2L baharu turut menawarkan kos operasi lebih rendah, disumbangkan oleh ketahanan lebih tinggi, produktiviti lebih baik serta cukai jalan lebih murah.
“Ini menjadikannya pilihan trak pikap yang sangat penting dan cekap dalam iklim ekonomi ketika ini,” kata Kudo.




























