
Isuzu Malaysia membuktikan kecekapan bahan api model pikapnya apabila Isuzu D-MAX 2.2L generasi baharu berjaya melengkapkan perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia tanpa perlu mengisi semula diesel.
Pencapaian itu direkod menerusi cabaran D-MAX One Tank, One Nation Challenge yang menyaksikan dua unit D-MAX baharu menempuh jarak 1,756 kilometer merentasi pelbagai negeri dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.
Cabaran bermula di Balakong, Selangor pada 17 Ogos lalu sebelum melalui Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Penamat bagi cabaran itu di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada 22 Ogos.
Lebih menarik apabila kedua-dua kenderaan masih mempunyai baki diesel dalam tangki sebaik tiba di garisan penamat.

Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, cabaran tersebut bertujuan memperlihatkan kemampuan sebenar D-MAX dalam keadaan pemanduan harian yang realistik di Malaysia.
“Laluan yang dipilih merangkumi pelbagai jenis permukaan jalan dan keadaan trafik termasuk lebuh raya, jalan persekutuan, kawasan berbukit, hujan serta kesesakan lalu lintas.
“Cabaran ini memberi peluang kepada kami membuktikan keupayaan sebenar D-MAX 2.2L dalam situasi pemanduan dunia sebenar.
“Kami yakin dengan prestasi dan kecekapan model ini, dan hasil yang dicapai membuktikan kepercayaan tersebut,” katanya.

Enjin RZ4F-TC 2.2L turbo diesel yang digunakan pada D-MAX terbaharu dibangunkan bagi menawarkan keseimbangan antara prestasi, ketahanan dan penggunaan bahan api lebih rendah, selain membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Dua varian digunakan untuk cabaran berkenaan adalah D-MAX 4×4 Auto Premium dan D-MAX 4×2 Auto Plus.
Kedua-duanya berjaya melengkapkan perjalanan dengan baki bahan api melebihi 4 peratus walaupun melalui laluan mencabar termasuk East-West Link yang menghubungkan Jeli dan Gerik.
Salah seorang pemandu cabaran, Sing Yuin Christy yang pernah mencipta rekod pemanduan pikap paling jauh menggunakan satu tangki dalam Malaysian Book of Records, menyifatkan model 2.2L baharu itu lebih mudah dipandu dan lebih cekap berbanding D-MAX 3.0L sebelum ini.

Menurutnya, kombinasi enjin baharu bersama transmisi automatik lapan kelajuan membolehkan penghantaran kuasa lebih lancar serta membantu mengurangkan penggunaan bahan api ketika pemanduan di lebuh raya.
Bagi varian 2.2L TD 4×2 Auto Plus, pengurangan berat sekitar 80 kilogram berbanding model pacuan empat roda serta reka bentuk lebih ringan turut menyumbang kepada kecekapan bahan api yang lebih baik.

Isuzu kini kekal sebagai satu-satunya pengeluar trak pikap di Malaysia yang masih menawarkan varian 4×2, memberi pilihan kepada pengguna yang lebih banyak menggunakan kenderaan di jalan berturap dan untuk perjalanan jarak jauh.
Sempena cabaran itu, Isuzu Malaysia turut menganjurkan peraduan Guess the Final Mileage dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
Seorang peserta dari Kluang, Johor berjaya meneka jarak akhir perjalanan dengan tepat iaitu 1,756 kilometer dan membawa pulang baucar barangan runcit bernilai RM5,000.






























