
smart memperkenalkan smart #1 generasi baharu di China pada dengan lebih 200 peningkatan merangkumi teknologi, pengecasan, pemanduan pintar, keselesaan dan keselamatan.
smart #1 telah berada di pasaran selama empat tahun dan kini ditawarkan di 41 negara di seluruh dunia.
Lebih 100,000 pengguna telah memandu model tersebut dengan jarak terkumpul lebih 1 bilion kilometer.
Model 2027 ditawarkan dalam dua varian iaitu 535 Max dan 535 Ultra, dengan harga promosi terhad bermula ¥149,900 (RM89,900).
Lima manfaat pembelian yang ditawarkan mempunyai nilai keseluruhan sehingga lebih ¥25,000 (RM15,000).
Menurut smart, model terbaharu ini membawa lebih 200 kemas kini, termasuk 63 ciri yang didakwa terbaik dalam kelasnya dan 20 ciri unik dalam kelasnya.
Platform 800V, pengecasan 6C
Antara perubahan paling besar ialah penggunaan seni bina elektrik EEA 4.0 yang merupakan seni bina elektronik dan elektrik berasaskan AI pada tahap kuantum pertama di dunia.
Kesemua varian turut dilengkapi platform voltan tinggi 800V dengan teknologi semikonduktor silikon karbida serta sistem pengecasan pantas 6C.
Dengan pengecasan tersebut, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam hanya 12 minit.
smart turut mendakwa pengecasan selama 10 minit mampu menambah jarak perjalanan lebih 300 km.
Sistem pacuan menggunakan motor elektrik Thunder 16-in-1 yang direka untuk meningkatkan kecekapan.
Manakala, bateri ShenDun Golden Brick dibangunkan dengan piawaian keselamatan setaraf tahap ketenteraan dan memenuhi keperluan piawaian keselamatan bateri baharu China.
Sistem bantuan pemanduan lebih pintar
Bagi teknologi bantuan pemanduan, smart #1 baharu menerima sistem Horizon H5 versi penuh.
Sistem ini menggunakan cip berkuasa tinggi Nvidia Orin Y dan penyelesaian G-ASD 4.0, yang diperkasakan model dunia WAM dengan lebih 100 bilion parameter.
Sebanyak 31 perkakasan penderiaan, termasuk LiDAR, digunakan untuk menyokong fungsi bantuan pemanduan di bandar dan lebuh raya.
Sistem tersebut mampu beroperasi dalam lebih 20 situasi sukar, termasuk melalui bulatan, membelok ke kiri tanpa perlindungan serta melalui lorong sempit.
Fungsi parkir automatik turut ditawarkan, termasuk keupayaan meletakkan kenderaan ke ruang parkir walaupun pemandu sudah keluar dari kereta.
Kawalan parkir menggunakan sentuhan jari juga disediakan. Fungsi parkir dari satu lokasi ke lokasi lain pula akan ditambah menerusi kemas kini over-the-air (OTA).
Kokpit dengan skrin 15.4 inci
Di dalam kabin, smart #1 baharu menggunakan cip Longying 6P 4nm untuk meningkatkan kelajuan pemprosesan.
Di dalam kabin, smart #1 baharu dilengkapi skrin tengah berukuran 15.4 inci dengan resolusi 2.5K.
Skrin ini menggunakan sistem operasi smart OS dan menjadi model pertama yang menerima versi terbaharu Flyme Auto yang diubah suai khas untuk smart.
Pembantu AI Super Smart pula mampu memahami arahan suara kompleks termasuk destinasi berbilang lokasi dan susunan perjalanan tertentu.
Sistem penghawa dingin AI turut boleh mengesan suhu, kelembapan dan kualiti udara di dalam serta luar kenderaan sebelum melaraskan suhu, kelembapan dan kelajuan kipas secara automatik.
Rekaan kekal identiti smart
Walaupun menerima peningkatan besar dari segi teknologi, smart #1 baharu masih mengekalkan identiti reka bentuknya yang dibangunkan bersama Mercedes-Benz.
Reka bentuk empat roda di penjuru badan memberikan penampilan lebih tegap.
Varian Platinum menerima bumbung berwarna Corona Gold bersama pilihan kombinasi warna biru-emas dan putih-emas.
Turut disediakan logo bercahaya pada tiang-D serta lencana Styled by Mercedes-Benz.
Penampilan luaran dilengkapkan dengan rim 19 inci, selain spoiler belakang berorientasikan prestasi.
Dari segi ruang, smart mengekalkan konsep badan kompak tetapi ruang kabin luas dengan jarak roda 2,750 mm dan kadar penggunaan ruang dalaman 84 peratus.
Terdapat juga 28 ruang penyimpanan di seluruh kabin.
Kerusi urut dan sistem audio premium
Tempat duduk baharu menggunakan 12 lapisan dan kusyen bagi meningkatkan keselesaan penumpang.
Kerusi pemandu dan penumpang hadapan menawarkan sehingga 24 gabungan urutan, selain fungsi pemanasan dan pengudaraan.
Bahagian dengan kemasan lembut melebihi 5 meter persegi.
Beberapa bahagian seperti panel pintu, tempat letak tangan dan penutup pemegang cawan menggunakan kemasan jaring 3D Mesh.
Sistem audio Sennheiser Signature serta pencahayaan suasana pintar 256 warna menambah ciri menarik dalam kabin.
Keselamatan dipertingkat
Dari aspek keselamatan, smart #1 baharu masih dibangunkan berdasarkan piawaian keselamatan lima bintang China dan Eropah.
Struktur badannya menggunakan binaan rangka keluli-aluminium dengan kandungan 84 peratus.
Sebanyak 19 fungsi bantuan keselamatan aktif baharu ditambah seperti kecemasan automatik (AEB), amaran dan brek kecemasan lintasan trafik belakang (RCTA & RCTB).
Turut dilengkapi kawalan kestabilan ketika tayar pecah, serta bantuan sekiranya pemandu tidak lagi mampu mengawal kenderaan.
Talaan casis bersama Mercedes-Benz
Untuk aspek pemanduan, smart dan Mercedes-Benz bekerjasama melakukan talaan pada casis model baharu ini.
Suspensi dikatakan memberikan sokongan yang kukuh ketika mengambil selekoh, selain penyerapan hentakan yang lebih kemas.
Smart #1 menawarkan jarak kelegaan tanah 154 mm yang membolehkannya kekal lincah di kawasan bandar.
Ukuran tersebut juga memberi kelebihan untuk melalui jalan tidak berturap serta laluan off-road ringan.
Sementara itu, sistem brek pintar CST mengurangkan junaman (pitching) ketika membrek.
Pada masa sama, sistem pemulihan tenaga dinamik pintar membantu mengimbangi kecekapan tenaga serta kelancaran pemanduan.





































