Utama Berita Automotif GWM Malaysia perkenal TANK 500 HEV 2026, lengkap ciri ketersambungan pintar dipertingkat

GWM Malaysia perkenal TANK 500 HEV 2026, lengkap ciri ketersambungan pintar dipertingkat

1

GWM Malaysia secara rasmi memperkenalkan GWM TANK 500 HEV 2026 yang dilengkapi sistem ketersambungan telefon pintar dipertingkatkan, bagi memberikan pemilik kemudahan, kawalan dan pemantauan kenderaan secara jarak jauh.

Model tahun 2026 ini mengekalkan keunggulan SUV keluaran GWM dari segi keselesaan premium, teknologi pintar dan keupayaan merentas pelbagai bentuk muka bumi, sambil menambah tiga fungsi utama baharu iaitu kawalan kenderaan jarak jauh, pemantauan kenderaan, serta lokasi dan makluman.

Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata, ketersambungan dipertingkatkan itu bertujuan memberikan nilai dan kemudahan lebih besar dalam kehidupan seharian pelanggan.

“GWM TANK 500 HEV 2026 membina kekuatan SUV kami menerusi ciri ketersambungan yang dipertingkatkan. Ia memberikan pemilik kawalan, pemantauan dan ketenangan fikiran lebih baik, di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Menerusi Aplikasi Pintar GWM (GWM Intelligent Application), pemilik boleh membuat persediaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

Antara fungsi ditawarkan termasuk menghidup dan mematikan enjin, mengawal sistem penyaman udara, menjadualkan pengaktifan penyaman udara, serta mengaktifkan penulen udara dan pengudaraan tempat duduk dari jauh. Ruang kabin boleh disejukkan dan diberi pengudaraan terlebih dahulu sebelum memandu.

Pemilik turut boleh mengunci atau membuka kunci pintu, memeriksa status bumbung dan tingkap, serta menutupnya dari jarak jauh sekiranya diperlukan.

Pemantauan Masa Nyata Dan Sistem Amaran

Ciri baharu ini membolehkan pemilik memantau status dan tahap kesediaan kenderaan secara masa nyata.

Fungsi pemantauan merangkumi status enjin, baki jarak pemanduan, paras bahan api, jumlah perbatuan, tekanan dan suhu keempat-empat tayar, serta status pintu, tingkap, bumbung suria dan sistem kabin.

Sistem akan menghantar makluman secara automatik sekiranya dikesan pintu atau tingkap tidak ditutup sepenuhnya, paras bahan api atau bateri 12V rendah, serta tekanan atau suhu tayar tidak normal. Ini membolehkan tindakan awal diambil sebelum perjalanan seterusnya.

Pemilik juga boleh melihat lokasi semasa kenderaan, mengaktifkan hon dan lampu kecemasan untuk memudahkan pencarian di kawasan parkir, serta menggunakan fungsi geofencing bagi menetapkan sempadan maya dan menerima makluman apabila kenderaan keluar dari kawasan ditetapkan.

Aplikasi ini turut menyokong perkongsian akses kenderaan dengan pengguna lain dan kawalan tetapan lokasi GPS untuk fungsi perkhidmatan lokasi.

Ringkasan Ciri Ketersambungan TANK 500 HEV 2026 :

  • Kawalan Jarak Jauh – Pintu, tingkap, bumbung, penyaman udara, penulen udara, pengudaraan tempat duduk
  • Pemantauan – Enjin, bahan api, jarak pemanduan, tekanan tayar, status kabin
  • Lokasi & Makluman – Lokasi kenderaan, geofencing, amaran pintu/tingkap terbuka, amaran paras rendah

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pengalaman pemilikan kini melangkaui pemanduan.

“Sama ada membuat persediaan ruang kabin sebelum perjalanan, memeriksa keadaan tayar atau memastikan pintu dan tingkap telah ditutup, ciri ketersambungan ini menjadikan interaksi harian dengan TANK 500 HEV lebih lancar dan mudah,” katanya.

Model 2026 mengekalkan rangkaian kuasa Hibrid Turbo 2.0 liter bersama ciri keselesaan, keselamatan dan teknologi pemanduan pintar untuk kegunaan harian mahupun pemanduan lasak.

Pemilik TANK 500 HEV turut menikmati pakej waranti dan penyelenggaraan termasuk :

  • Waranti seumur hidup bagi enjin, transmisi dan sistem HEV untuk pemilik persendirian tangan pertama
  • Waranti bateri voltan tinggi 8 tahun atau 200,000 km
  • Waranti kenderaan 6 tahun dengan perbatuan tanpa had
  • Pakej penyelenggaraan percuma 5 tahun

Sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, GWM Malaysia menjalankan kempen pelanggan dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Pelanggan yang menempah dan mendaftar kenderaan GWM baharu dalam tempoh tersebut layak menyertai cabutan bertuah dengan 6 pemenang berpeluang memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000. Sepanjang Ogos, pelanggan turut boleh menikmati penjimatan sehingga RM30,000 untuk model GWM terpilih.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here