
GWM Malaysia secara rasmi mengumumkan tempahan kini dibuka bagi kenderaan tenaga baharu terbaharunya, GWM WEY G9 Hi4 HEV, dalam segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah.
Model berkenaan adalah varian tambahan baharu bagi barisan MPV mewah WEY G9 yang sedia dipasarkan dalam versi Hi4 PHEV (plug-in hybrid) sejak dilancarkan tahun lepas.
Harga bagi model terbaharu ini diumumkan bermula RM249,800.
Menurut GWM Malaysia, model WEY G9 yang dipasang secara tempatan (CKD) oleh EP Manufacturing Berhad di Pegoh, Melaka itu menerima sambutan menggalakkan dengan hampir 2,000 unit varian PHEV diserahkan kepada pembeli tempatan setakat ini.
Dengan pengenalan varian Hi4 HEV, pembeli kini ditawarkan lebih fleksibiliti dengan pilihan varian hibrid.
Dari segi spesifikasi, WEY G9 Hi4 HEV menggunakan:
- enjin 2.0-liter empat silinder turbo petrol yang digandingkan bersama dua motor elektrik
- pek bateri berkapasiti 1.67kWj
- padanan transmisi khusus hibrid (Dedicated Hybrid Transmission – DHT) empat kelajuan automatik
Gabungan tersebut menghasilkan kuasa 358PS dan tork 782Nm.
Sebagai perbandingan, versi Hi4 PHEV sedia ada menggunakan enjin 1.5-liter empat silinder turbo petrol bersama dua motor elektrik dan pek bateri 44.2kWj serta transmisi DHT empat kelajuan automatik yang menjana output lebih tinggi iaitu 442PS dan 642Nm, dengan jarak gerak elektrik sahaja sejauh 170 kilometer (NEDC).
Selain perbezaan mekanikal, varian Hi4 HEV dijangka berkongsi kelengkapan mewah, ciri keselamatan serta fungsi teknologi canggih yang sama seperti varian Hi4 PHEV.
Untuk rekod, Wey G9 Hi4 PHEV yang kini berada di pasaran tempatan ditawarkan pada harga RM269,900.





























