Utama Berita Automotif MODENAS Z15GT raih podium sulung PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup

MODENAS Z15GT raih podium sulung PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup

8

MODENAS Z15GT melakar pencapaian membanggakan apabila meraih kemenangan sulung dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup pada Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Litar Selatan), semalam.

Kemenangan tersebut diraih pelumba pasukan Raynorton Motorsport, Md Firdaus Mohd Hamdan, hanya lapan hari selepas beliau menghadiahkan podium pertama buat Z15GT dalam kategori sama di Litar Karting Antarabangsa LYL pada 10 Oktober lalu.

Bermula dari petak ketujuh, Firdaus menamatkan perlumbaan enam pusingan dengan catatan masa keseluruhan lapan minit 22.674 saat untuk dinobatkan sebagai pemenang.

Keputusan rasmi perlumbaan meletakkan Md Haziq Rosmaza di tempat kedua, diikuti Md Harith Rosmaza di tempat ketiga, manakala dua peserta lain dikecualikan daripada klasifikasi akibat pelanggaran teknikal.

Firdaus menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bermakna buat pasukannya selepas kejayaan meraih podium pada perlumbaan terdahulu.

“Kemenangan ini sangat bermakna selepas kami berjaya naik podium sebelum ini. Saya menghargai usaha semua anggota pasukan yang bekerja keras untuk mencapai keputusan ini,” katanya.

Kejayaan itu turut menyerlahkan prestasi pasukan bebas Malaysia, Raynorton Motorsport yang bersaing dalam kejuaraan kebangsaan dengan sokongan usaha bersama pelumba, mekanik dan petugas pasukan sepanjang musim 2026.

Selain Firdaus, dua lagi pelumba yang menggunakan jentera MODENAS Z15GT turut mencatat keputusan dalam kelompok lapan terbaik apabila Md Amirul Affiq Ahmad Solikhin menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala Md Afiq Hamdan di tempat kelapan.

Ketua Pasukan Raynorton Motorsport, Syafie berkata, kemenangan berkenaan adalah hasil kerja berpasukan selepas kejayaan meraih podium pertama sebelum ini.

“Ia mencerminkan usaha berterusan pasukan membangunkan motosikal ini sepanjang musim,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan menyifatkan pencapaian itu sebagai perkembangan positif dalam kemunculan semula MODENAS di Kejuaraan Malaysian Cub Prix.

Menurut beliau, syarikat itu kini menyokong empat pasukan bebas yang bersaing menggunakan Z15GT.

“Pencapaian ini mencerminkan potensi bakat perlumbaan tempatan dan usaha memperkukuh penyertaan motosikal buatan Malaysia dalam sukan permotoran kompetitif menjelang penamat musim kejuaraan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here