
Isuzu Malaysia terus mencatatkan momentum jualan lebih kukuh susulan pelancaran model D-Max baharu 2.2L diesel.
Perkongsian pasaran jenama itu dalam segmen trak pikap negara meningkat kepada 17.3 peratus pada suku kedua 2026, iaitu kenaikan 3 mata peratus berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan itu disokong permintaan tinggi terhadap rangkaian D-Max yang diperbaharui dan dilancarkan pada Mac lalu.
Pembeli juga memberi respons positif terhadap aspek prestasi, penambahbaikan kualiti pemanduan dan kecekapan bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, D-Max terbaharu menggabungkan kekuatan tradisi Isuzu dengan peningkatan ketara dari segi dinamik pemanduan dan kecekapan operasi.
“Keupayaan D-Max yang telah lama terbukti kini digabungkan dengan pelbagai kelebihan prestasi baharu.
“Ini termasuk pemanduan lebih halus serta kecekapan bahan api yang lebih tinggi, sekali gus menawarkan trak pikap serba lengkap terbaik kepada pengguna Malaysia,” katanya.
Varian 2.2L Standard 4×4 Auto muncul sebagai varian terlaris dengan menyumbang 36 peratus daripada jumlah jualan D-Max.
Enjin diesel 2.2L baharu menggantikan unit 1.9L sebelum ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Kombinasi ini direka untuk menghasilkan prestasi lebih bertenaga, respons lebih lancar, pemanduan lebih halus dan penjimatan bahan api lebih baik, di samping mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Isuzu kini menawarkan 10 varian D-Max, menjadikannya antara rangkaian trak pikap paling lengkap di pasaran Malaysia.
Model 2.2L Single Cab Auto, trak pikap kabin tunggal automatik pertama di Malaysia, turut mendapat sambutan dalam kalangan pengguna komersial. Ia secara tidak langsung menyumbang 60 peratus daripada jualan D-Max kabin tunggal.
Model ini menggabungkan kemudahan pemanduan dengan keupayaan muatan lasak serta sistem pacuan 4 roda terbukti milik Isuzu.
Ia dilihat sesuai untuk perniagaan yang beroperasi di pelbagai jenis muka bumi.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, trenkuasa baharu ini telah meningkatkan daya tarikan keseluruhan D-Max.
“Rangkaian baharu Isuzu D-Max dengan enjin 2.2L dan transmisi automatik 8-kelajuan telah mencatat prestasi cemerlang sejak dilancarkan pada April tahun ini.
“Enjin berkuasa baharu ini mencapai peningkatan dalam setiap aspek – daripada kecekapan bahan api, kuasa, tahap kesenyapan hinggalah emisi.
“Sebab itu kami tidak teragak-agak menggelarnya sebagai Enjin Terbaik Kami Setakat Ini,” ujarnya.































