
Kerajaan akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), sebagai langkah segera memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang, kata jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata langkah penambahbaikan tersebut dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh KDN dan MOT bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera. Pertama, melibatkan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia.
“Pada waktu ini pasukan yang mengurus adalah dalam kalangan polis bantuan,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata Malaysia Aviation Group (MAG) juga akan diminta untuk menyemak semula protokol saringan latar belakang dan kesihatan juruterbang dan pembantu juruterbang, susulan beberapa insiden yang berlaku.
Fahmi berkata PDRM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) turut diminta meneliti sebarang kelemahan atau kelompongan dalam sistem keselamatan yang berpotensi disalahgunakan supaya tindakan pembetulan dapat dilaksanakan dengan segera.
Mengulas kemungkinan penubuhan pasukan siasatan khas bagi kes itu, Fahmi berkata kerajaan akan meneliti laporan penuh kes terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pada waktu ini, kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri, memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh.
“Kita akan teliti (dan) pertimbang tindakan-tindakan susulan. Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompongan dapat ditutup dengan segera,” katanya.




