Utama Berita Automotif Pemeriksaan awal tiada objek mencurigakan pada bagasi juruterbang

Pemeriksaan awal tiada objek mencurigakan pada bagasi juruterbang

54

Pemeriksaan terhadap bagasi juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia pada 28 Julai lalu, tidak membawa kepada sebarang penemuan objek mencurigakan.

Dapatan itu diperoleh hasil pemeriksaan awal, ketika juruterbang itu melalui mesin pengimbas bagasi terkini yang dilengkapi sistem teknologi tinggi kecerdasan buatan (AI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek telah melalui semua proses saringan sebelum menaiki pesawat dan berlepas ke Indonesia.

“Dalam saringan dilakukan sepertimana biasa menggunakan mesin pengimbas, beg dibawa tidak memberi apa jua imej yang mencurigakan.

“Justeru itu ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan lapangan terbang antarabangsa KLIA,” katanya dalam sidang media di KLIA.

Ditanya sama ada bekalan dadah seberat 26kg yang ditemui dan dirampas Bahagian Cukai dan Kastam Indonesia diterima dan dibawa oleh juruterbang sama selepas pemeriksaan mesin pengimbas, Mohd Shuhaily menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.

“Saya tidak dapat mengulas perkara ini, namun akan diperoleh berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata, AKPS memandang serius insiden itu kerana berpotensi menjejaskan integriti kawalan keselamatan sempadan negara selain menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pelaksanaan prosedur saringan di KLIA.

“Perhatian juga turut diberikan terhadap dakwaan kemungkinan wujud kelemahan atau kelompongan dalam pelaksanaan proses saringan bagasi dan pemeriksaan keselamatan yang membolehkan bahan terlarang dibawa keluar dari negara.

“Perkara itu perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan prosedur, ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) atau unsur lain yang menyumbang kepada insiden berkenaan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here