
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi antara empat sekeluarga disahkan maut dalam kejadian kenderaan pikap dihempap pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, dekat Bentong, pada Isnin.
Selain Mohd Radzi, 40, tiga lagi yang maut adalah isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah dan menerima rawatan awal di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk rawatan lanjut.

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengesahkan nahas melibatkan keluarga Ketua Pemuda Bahagian Maran dan keluarga itu.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari tadi, kejadian berlaku ketika Ford Raptor dinaiki lima sekeluarga dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Janda Baik, sebelum dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, dilaporkan berkata lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik mengambil masa lebih sejam untuk membawa keluar empat mangsa tersepit dalam pikap berkenaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat.
































