Utama Berita Automotif Sebuah lagi supercar V12 bakal tiba dengan enjin V12, transmisi manual 7-kelajuan!

Sebuah lagi supercar V12 bakal tiba dengan enjin V12, transmisi manual 7-kelajuan!

3

Sebuah syarikat dari Itali, Silvestri Automobili bakal menawarkan model MN 40 Tributo sebagai penghormatan kepada jurutera terkenal Nicola Materazzi. 

Untuk makluman, Nicola merupakan jurutera yang bertanggungjawab menghasilkan model ikonik seperti Ferrari F40, Lancia Stratos dan Bugatti EB110 sebelum meninggal dunia pada 2024. 

Supercar ini bakal menggunakan resepi enjin tengah yang dipacu nadi bentangan V12 aspirasi semula jadi dipadankan dengan transmisi manual 7-kelajuan. 

Direka oleh Fancesco Rocco, supercar ini dibina menggunakan badan gentian karbon dengan casis spaceframe aluminium yang memfokuskan kepada agihan berat optimum tanpa bergantung kepada bantuan elektronik yang berat. 

Ia membawakan pengaruh rekaan Ferrari F40 seperti pada bahagian sayap belakang, ekzos tiga muncung, serta garis hitam yang melintang pada profil sisi. 

Bahagian depan pula membawakan elemen daripada model Venturi 400 GT, lampu depan gaya Marussia B1, serta liang udara bawah mirip W Motors Fenyr SuperSport, diikuti garis kemasukan udara dan winglet kecil yang mengimbau siri klasik Bertone BAT. 

Antara ciri-ciri lain termasuklah suspensi boleh laras elektronik, brek seramik-karbon dengan angkup 10-omboh di depan dan 6-omboh di belakang, serta padanan rim 20 inci depan dan 21 inci belakang. 

Berita baik, supercar ini bakal dilengkapi enjin bentangan V12 6.8 liter aspirasl semula jadi dengan kuasa 900 PS dan 800 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual transaxle 7-kelajuan buatan CIMA, klac khas dan pembeza sensitif tork. 

Selain transmisi manual, pembeli juga boleh mendapatkan pilihan transmisi sekuential dengan paddle shifter. 

Difahamkan hanya 15 unit sahaja MN 40 Tributo yang akan diproduksikan, di mana 2 unit lagi akan disimpan oleh syarikat. 

Harga juga belum diumumkan secara rasmi, namun apa yang pasti sebuah supercar V12 buatan tangan dengan unit terhad tidak akan membawakan tanda harga semurah Perodua Myvi fullspec. 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here