
Ribut Tropika Senyar meragut nyawa pertama melibatkan seorang penunggang motosikal yang melanggar pokok tumbang, pada Jumaat.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata kejadian dilaporkan di Jalan Selandar menghala Machap di Melaka pada jam 6.57 pagi.
“Walaupun kematian itu bukan akibat langsung ribut tropika Senyar, ia jelas berpunca daripada situasi berisiko yang berlaku susulan ribut berkenaan.
“Keadaan tanah yang lembut akibat hujan berpanjangan meningkatkan risiko pokok tumbang dan tanah runtuh walaupun kelajuan angin menunjukkan pengurangan.
“Sebanyak 49 insiden pokok tumbang dilaporkan di lima negeri merangkumi Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya bermula malam tadi hingga jam 8 pagi hari ini,” katanya.





























