
Semasa acara Icons of Porsche di Dubai baru-baru ini, sebuah Cayenne ‘lama’ menarik perhatian.
Ini bukan Cayenne biasa tetapi Cayenne GTS 2009 generasi pertama yang menjalani program khas Sonderwunsch Factory Re-Commission.
Program Factory Re-Commission yang kebiasaannya untuk kereta klasik seperti Carrera GT telah memecah tradisi apabila buat pertama kali dibuat untuk Cayenne berusia 16 tahun.
Dibangunkan di bawah nama kod Colorado, Cayenne generasi pertama dilancarkan pada tahun 2002 dan dikeluarkan sehingga 2010.
Model ini mempunyai peminat yang setia dan diberi perhatian oleh Porsche sebagai youngtimer (kereta lama yang mula dikumpul).
Milik Usahawan A.S
Projek Cayenne Factory Re-Commission dimulakan susulan permintaan khusus daripada Phillip Sarofim, seorang usahawan Amerika Syarikat dan pengumpul kereta.
Beliau mendapat inspirasi daripada 911 Spirit 70 dan berazam untuk membawa estetika serta aura tahun 1970-an yang sama ke dalam Cayenne miliknya.
- Model Asas: Cayenne GTS 2009.
- Perbatuan: Kira-kira 50,000 batu, bersamaan hampir 80,500 kilometer.
- Ciri-ciri Istimewa: Cayenne ini telah dipasang semula dengan bar tunda (towbar) US receiver system yang mempunyai pelekap segi empat. Pemasangan ini untuk Phillip Sarofim menunda karavan Airstream dalam perjalanan impiannya merentasi Gurun Rub al-Khali, Dubai.
Luaran dan Dalaman
Luaran:
- Warna Utama: Cat Blackolive melalui pilihan Paint to Sample.
- Hitam Kusam: Bahagian bawah badan dan rim aloi dicat dalam warna hitam kusam bagi menguatkan lagi karakter SUV off-road.
- Tayar: Tayar kasar turut dipasang untuk meningkatkan daya tarikan dan melengkapkan penampilan yang menawan.
Dalaman:
- Balutan: Kulit dalam warna English Green (Leather to Sample).
- Corak Ikonik: Corak fabrik Pasha dalam warna hitam/zaitun, tekstil khas Porsche yang tipikal, digunakan pada kerusi dan bahagian dalam kotak sarung tangan.
- Kemasan: Jalur riasan, pembuka pintu dan bingkai dengan kemasan aluminium gosokan.
Factory Re-Commission
Program Factory Re-Commission Sonderwunsch memberi peluang kepada pemilik untuk mengubah kereta mereka secara menyeluruh.
Proses dimulakan dengan penilaian awal kebolehlaksanaan teknikal bagi permintaan kelengkapan dan warna.
Kenderaan perlu dibawa ke Zuffenhausen untuk diperiksa oleh pakar Sonderwunsch sebelum anggaran kos disediakan.



































