
Apabila Kumpulan VW memindahkan pemilikan Bugatti kepada usaha sama antara Rimac dan Porsche pada 2021, matlamat asalnya adalah untuk menggunakan kepakaran Rimac untuk membangunkan Bugatti berkuasa elektrik sepenuhnya.
Tetapi Mate Rimac memilih jalan berbeza dengan melahirkan Bugatti Tourbillon berkuasa V16 dan kini, pegangan VW serta Porsche dalam jenama ikonik Perancis itu rasmi hilang sepenuhnya.
Konsortium pelabur yang terdiri daripada HOF Capital, BlueFive Capital serta pelabur AS dan Eropah telah memuktamadkan pembelian 21% pegangan Porsche dalam Rimac Group dan 45% pegangan Porsche dalam usaha sama Bugatti Rimac.
Ringkasnya, ini transaksi besar yang mengubah landskap hypercar global.
Selama lebih 18 bulan, Mate Rimac mencari jalan untuk mendapatkan kawalan lebih besar terhadap masa depan Bugatti.
Beliau pernah meluahkan rasa kecewa dengan proses kelulusan yang rumit di mana setiap idea jangka panjang perlu melalui keluarga Porsche‑Piëch terlebih dahulu.
Bagi seorang usahawan yang bergerak pantas seperti Mate, ini jelas menjadi penghalang.
Dengan urus niaga kini selesai, Mate Rimac boleh mengemudi hala tuju Bugatti dengan lebih bebas. Christophe Piochen, presiden Bugatti Automobiles dan COO Bugatti Rimac, akan berundur.
Mate Rimac sendiri akan menjadi presiden baharu Bugatti, manakala bekas COO Rimac Technology, Marko Brkljačić, kini dilantik sebagai COO Bugatti Rimac.
Porsche tidak keluar tangan kosong. Syarikat itu mengesahkan ia memperoleh €1 bilion (RM5.5 bilion) daripada transaksi ini, termasuk €250 juta yang akan digunakan untuk menampung obligasi pencen.
Mate Rimac berkata:
“Saya sangat gembira urus niaga dengan Porsche dan HOF Capital telah selesai. Porsche menjadi rakan yang sangat bernilai selama ini, membantu kami membina asas kukuh untuk masa depan Bugatti. Saya juga menantikan kerjasama dengan HOF Capital, yang akan menjadi aset penting dalam merealisasikan visi jangka panjang kami untuk masa depan Bugatti.”

































