
Bugatti memperkenalkan W16 Mistral Caroline sebuah kereta hiper bumbung terbuka unik daripada program Sur Mesure yang dihasilkan khas sebagai dedikasi buat seorang anak perempuan.
Model ini bukan sekadar pencapaian kejuruteraan, tetapi merupakan karya seni bagi menandakan berakhirnya era enjin W16 yang legenda.
Jentera ini dihasilkan sebagai sambutan kasih sayang terhadap keluarga, di mana identiti pemilik dan penghormatan kepada anaknya dizahirkan melalui perincian yang sangat halus.
Reka Bentuk Bertemakan Bunga
Proses penghasilan unit Sur Mesure ini bermula dengan visi daripada seorang pelanggan setia Bugatti.
Beliau mahu menggabungkan reka bentuk W16 Mistral dengan identiti yang lembut dan elegan. Nama Caroline dipilih sebagai penghormatan kepada anak perempuan pemilik.
Inspirasi utama datang daripada keindahan bunga yang dikaitkan dengan dunia Haute Couture.
Projek ini diketuai oleh Sabine Consolini dari pasukan Kemasan Warna & Bahan Bugatti.
Pembangunan ini melibatkan kerjasama antara Atelier Bugatti di Molsheim dan Studio Reka Bentuk baharu mereka di Berlin.
Mereka bertanggungjawab menyelaraskan semua elemen visual termasuk pemilihan kulit, kemasan gentian karbon, serta tona warna utama dan riasan.
Inspirasi Alam dan Haute Couture
Pereka Bugatti mengambil inspirasi daripada ladang lavender di Provence, taman-taman di Paris, serta fabrik yang digunakan dalam fesyen Haute Couture.
Bahagian luaran jentera ini menggunakan cat khas Lavender yang dihasilkan melalui proses adunan dan ujian yang sangat teliti.
Puluhan sampel telah dinilai pada permukaan arca kereta bagi mendapatkan keseimbangan antara kehangatan dan kilauan.
Warna ini unik kerana permukaannya berubah mengikut cahaya antara ungu kebiruan dan kemerahan.
Bahagian bawah badan pula menggunakan anyaman Violet Carbon terdedah yang diberikan tona ungu pelengkap untuk memberikan kesan kontras pada reka bentuk keseluruhan.
Perincian Artistik Sayap Belakang
Bahagian yang paling menonjol ialah sayap belakang boleh laras. Komponen ini menjadi kanvas bagi gubahan lukisan tangan yang rumit menggunakan lapisan rona lila dan iris.
Setiap kelopak bunga dilukis dengan tepat bagi memberikan kesan kedalaman. Di bahagian tengah sayap, nama Caroline ditulis mengikut reka bentuk signatur Bugatti.
Proses mengecat sayap ini sangat teknikal, di mana juruteknik pakar menggunakan pelbagai peringkat lapisan pelindung (multiple masking foils) secara berturut-turut.
Ini bagi memastikan setiap lapisan warna ungu yang halus dihasilkan dengan sempurna.
Hasil seni ini hanya akan terserlah sepenuhnya apabila sistem brek udara (air brake) diaktifkan.
Ruang Kabin Mewah dan Teliti
Bahagian dalaman meneruskan tema artistik yang sama dengan gabungan kulit Blanc dan Minuit serta kemasan Violet Carbon.
Penyandar kepala dihiasi corak bunga yang disulam tangan menggunakan teknik imej cermin agar rekaan kiri dan kanan nampak seimbang.
Proses ini melibatkan beribu-ribu helai benang bagi mewujudkan pelbagai tona warna dalam satu reka bentuk.
Pada panel pintu, sulaman bunga direka seolah-olah kelopak sedang ditiup angin bagi memberikan kesan pergerakan.
Di tengah kabin, tombol gear menempatkan ikon Dancing Elephant karya Rembrandt Bugatti yang diletakkan di dalam kaca berwarna ungu.
Ikon ini bertindak sebagai pautan kepada warisan artistik keluarga Bugatti.
Manifestasi Falsafah Sur Mesure
W16 Mistral Caroline menggabungkan elemen cat, sulaman dan bahan menjadi satu identiti yang lengkap.
Menurut Hendrik Malinowski, Pengarah Urusan Bugatti, jentera ini mencerminkan gabungan antara warisan jenama dan ekspresi peribadi pemiliknya.
Ia adalah manifestasi tertinggi bagi program Sur Mesure dalam mengubah impian pelanggan menjadi realiti.




































