Utama Berita Automotif Berita Global Basikal Bugatti Factor ONE, terhad 250 unit, RM93 ribu!

Basikal Bugatti Factor ONE, terhad 250 unit, RM93 ribu!

20

Jenama kereta sport hiper terkemuka Bugatti, mengumumkan kerjasama strategik dengan Factor Bikes yang merupakan pengeluar basikal prestasi tinggi dari Norfolk, UK.

Kerjasama ini untuk menggabungkan kepakaran kejuruteraan automotif tahap elit dengan teknologi basikal lumba paling canggih.

Factor Bikes yang diasaskan oleh Rob Gitelis dikenali sebagai jenama yang menghasilkan basikal lumba terpantas yang mematuhi piawaian UCI melalui proses reka bentuk dan pembuatan dalaman sepenuhnya.

Falsafah Kejuruteraan

Kedua-dua jenama ini berkongsi objektif yang sama dalam mengejar kecemerlangan mutlak dan penambahbaikan kecil yang menentukan kemenangan.

Bugatti Factor ONE direka untuk menyatukan DNA kereta sport hiper Bugatti dengan kejuruteraan basikal paling inovatif.

Setiap elemen pada jentera ini telah diteliti dengan mendalam untuk memastikan kecekapan aerodinamik, kekakuan rangka dan mutu tunggangan yang terbaik.

Eksklusiviti dan Inspirasi Warisan Lumba

Model ini ditawarkan secara terhad kepada 250 unit sahaja di seluruh dunia dengan setiap satu unit mempunyai nombor siri individu melalui plat bernombor Bugatti.

Sejarah Bugatti yang bermula daripada jentera lumba Type 35 pada tahun 1920-an sehingga model moden seperti Veyron dan Chiron menjadi asas kepada pembangunan basikal ini.

Walaupun Factor ONE versi standard merupakan basikal jalan raya sah UCI terpantas, edisi Bugatti ini memilih untuk mengetepikan buku peraturan tersebut bagi mencapai prestasi lebih ekstrem.

Ini membolehkan penggunaan fork / sepit udang yang lebih lebar untuk mengurangkan angka seretan udara.

Rekaan Visual dan Identiti Jenama

Dari segi estetika, Bugatti Factor ONE menampilkan grafik dua tona yang merupakan signatur reka bentuk Bugatti.

Dua visual ini bertujuan menyerlahkan bentuk permukaan aerodinamik yang menyerupai bentuk badan kereta sukan hiper mereka.

Warna utama yang digunakan ialah Bugatti Blue, iaitu warna rasmi mewakili Perancis dalam perlumbaan antarabangsa zaman dahulu.

Selain itu, tulisan BUGATTI berwarna putih diletakkan pada rangka basikal untuk identiti yang menyerlah.

Pada bahagian hadapan, terdapat simbol Dancing Elephant yang diilhamkan daripada karya seni Rembrandt Bugatti sebagai penghormatan kepada warisan seni jenama tersebut.

Komponen Berprestasi Tinggi dan Inovasi Teknikal

Inovasi teknikal pada basikal ini merangkumi rekaan fork hadapan yang mengoptimumkan pengurusan aliran udara untuk kestabilan pada kelajuan tinggi.

Kerjasama ini turut melibatkan pembangunan komponen tempahan khas daripada jenama ternama.

Antaranya pelana daripada Selle Italia, rotor dan gelang rantai daripada CARBON-TI, serta tayar daripada Continental yang semuanya disesuaikan khusus untuk falsafah prestasi Bugatti Factor ONE.

Basikal ini dilengkapi dengan set roda Black Inc Bugatti Hyper 62. Roda 62 mm ini dioptimumkan untuk kecekapan kelajuan tinggi dan kestabilan angin lintang.

Penggunaan susunan karbon daripada jenis TeXtreme®, Toray® dan Nippon Graphite® memastikan kekakuan kilasan yang maksimum bagi penghantaran kuasa yang cekap.

Antara teknologi yang digunakan seperti jejari bumerang jenis co-moulded dan binaan dalaman hab yang tepat untuk memberikan kualiti tunggangan yang responsif.

Pasaran dan Harga

Jentera ini bakal diperkenalkan kepada umum dalam satu acara bersama di Shanghai pada 18 Mac 2026.

Dari segi pemilikan, basikal ini ditawarkan pada harga bermula 23,599.00 USD atau kira-kira RM93,003.66.

Spesifikasi Bugatti Factor ONE 

  • Rangka: Karbon jenis TeXtreme®, Toray®, dan Nippon Graphite® Pitch-Based Fiber dengan kemasan 3K
  • Sepit Udang: Bugatti Wide Front End dengan lebar 147 mm (had UCI 115 mm)
  • Tiang Pelana: Pilihan anjakan 0 mm atau 30 mm
  • Bar/Stem: Factor Integrated Barstem (jangkauan 80 mm, jatuhan 120 mm, lebar 380 mm)
  • Bottom Bracket: CeramicSpeed T47 ALPHA
  • Brek: Brek cakera 160 mm depan dan belakang
  • Groupset: SRAM RED AXS dengan meter kuasa
  • Kaset: 10-33T
  • Rantai:Carbon-TI X-CARBORING 48/35
  • Engkol: Lengan engkol karbon THM
  • Meter Kuasa: SRM ORIGIN PM9
  • Rotor:Carbon-TI X-FIX ROAD BLACK BUGATTI
  • Sistem Takal: CeramicSpeed OSPW
  • Set Roda: Black Inc Hyper 62
  • Berat Roda: 1,298 gram sepasang
  • Tayar: Continental TT
  • Pelana:Selle Italia SLR Carbon
  • Pembalut Bar:Bugatti
  • Aksesori: Beg basikal Loomer Travel Bag, pemegang botol Black Inc Aero, cagak komputer suai 3D
  • Jaminan: Waranti seumur hidup terhad daripada pengeluar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here