Utama Berita Automotif BMW i3 tampil gayaan segar, jarak luar biasa 900 km!

BMW i3 tampil gayaan segar, jarak luar biasa 900 km!

5

BMW memperkenalkan BMW i3 sebagai model kedua dalam keluarga Neue Klasse, sekali gus membawa evolusi kepada BMW 3 Series dalam era elektrifikasi.

Model ini dibangunkan sebagai sedan elektrik dengan teknologi baharu merangkumi rangkaian kuasa, seni bina digital dan sistem operasi.

Dikenali dengan kod dalaman NA0, BMW i3 akan mula dikeluarkan di Kilang Munich bermula Ogos 2026.

Neue Klasse dan asas baharu BMW

BMW i3 dibangunkan berasaskan seni bina Neue Klasse yang merangkumi sistem digital dengan empat komputer berprestasi tinggi.

Setiap satu menguruskan fungsi pemanduan, pemanduan automatik, infotainmen dan fungsi keselesaan.

Kesemua sistem ini membentuk satu seni bina digital baharu yang dibangunkan oleh BMW, dengan kuasa pemprosesan sehingga 20 kali lebih tinggi berbanding model BMW terdahulu.

Rangkaian kuasa dan prestasi

Varian pelancaran i3 50 xDrive menggunakan dua motor elektrik pada gandar depan dan belakang.

Pemandu boleh menikmati kuasa setinggi 345 kW (469 ps) dan tork maksimum 645Nm selain pacuan semua roda.

Motor belakang menggunakan teknologi electrically excited synchronous motor, manakala motor depan menggunakan asynchronous motor.

Gabungan ini mengurangkan kehilangan tenaga dan meningkatkan kecekapan berbanding generasi sebelumnya.

Sistem Heart of Joy mengawal fungsi pemanduan, brek, sebahagian fungsi stereng, pengecasan dan pemulihan tenaga.

Sistem ini bertindak balas sehingga 10 kali lebih pantas berbanding sistem sebelumnya, menghasilkan kawalan yang lebih tepat dan konsisten.

Teknologi bateri dan jarak luar biasa!

Jarak pemanduan BMW i3 mencecah sehingga 900 km mengikut WLTP, hasil gabungan beberapa faktor utama.

Di antara faktor penyumbang seperti sistem rangkaian kuasa eDrive generasi keenam dengan seni bina 800 volt dan motor EESM di belakang serta ASM di hadapan yang memberikan kecekapan tinggi.

Kedua, bateri litium-ion silinder baharu menawarkan ketumpatan tenaga 20% lebih tinggi berbanding sel prismatik generasi sebelumnya.

Ketiga, rekaan badan sedan yang dioptimumkan untuk aerodinamik, termasuk bentuk streamline dan susunan pek bateri secara cell-to-pack dan pack-to-body, mengurangkan kehilangan tenaga.

Sistem pengecasan juga cemerlang dengan pengecasan pantas DC sehingga 400 kW, memberikan tambahan jarak sehingga 400 km dalam 10 minit.

Pengecasan AC pula menyokong sehingga 22 kW.

BMW i3 turut menyokong pengecasan dua hala, termasuk fungsi vehicle-to-load, dan dilengkapi penukar DC-DC untuk keserasian dengan pengecas 400 volt.

Sistem pengecasan pantas DC menyokong sehingga 400 kW, dengan tambahan jarak sehingga 400 km dalam 10 minit. 

Reka bentuk luaran

BMW i3 menampilkan rekaan kotak 2.5-box dan masih kekal dengan gaya sebuah sedan tradisional.

Ciri utama BMW i3 termasuk jarak roda yang panjang dengan juntaian pendek, garisan badan yang minimalis dan bahagian hadapan gaya muncung jerung.

Satu lagi yang menarik, tiada gril buah pinggang lonjong dan besar dan BMW memilih rekaan mendatar dan digabungkan dengan lampu.

Bahagian sisi menampilkan lengkungan roda yang lebar serta pemegang pintu jenis rata yang terbuka secara automatik. Hofmeister kink dizahirkan dalam bentuk moden.

Di bahagian belakang, lampu berbentuk L dengan grafik tiga dimensi menonjolkan kelebaran kenderaan.

Sebanyak 11 warna luaran ditawarkan termasuk M Le Castellet Blue, bersama rim sehingga 21 inci.

Kabin dan sistem digital

Ruang dalaman BMW i3 direka berasaskan seni bina EV, dengan fokus kepada orientasi pemandu.

Sistem BMW Panoramic iDrive merangkumi paparan Panoramic Vision yang melintang sepanjang bahagian bawah cermin hadapan, skrin tengah bersaiz 17.9 inci, paparan Head-Up 3D sebagai pilihan, serta stereng pelbagai fungsi.

Sistem ini dikendalikan oleh BMW Operating System X yang menyokong kemas kini over-the-air.

BMW Intelligent Personal Assistant menyokong interaksi suara menggunakan teknologi large language model, termasuk integrasi Alexa+.

Turut disediakan pengecas tanpa wayar standard Qi2 dengan penjajaran magnet. Kawalan ventilasi diintegrasikan ke dalam sistem paparan.

BMW i3 juga dilengkapi ruang simpanan hadapan atau frunk.

Bahagian dalaman termasuk fabrik Econeer daripada 100 peratus poliester kitar semula serta pilihan Veganza dan kulit Merino.

Dinamik pemanduan dan suspensi

BMW i3 menggunakan konfigurasi casis dengan pusat graviti rendah hasil susunan bateri di lantai.

Sistem suspensi BMW i3 terdiri daripada MacPherson strut di hadapan dan lima pautan di belakang.

Ia turut dilengkapi anti-roll bar dengan preload tinggi serta penyerap hentak jenis stroke-selective sebagai standard. Suspensi M adaptif ditawarkan sebagai pilihan.

Driving Assistant Plus menyokong fungsi bantuan pemandu Tahap 2 termasuk pelarasan kelajuan mengikut selekoh.

Fungsi Soft-Stop membolehkan kenderaan berhenti dengan lancar menggunakan motor elektrik, manakala brek regeneratif digunakan dalam kebanyakan situasi pemanduan.

Spesifikasi BMW i3 (NA0)

  • Rangkaian kuasa: Motor elektrik EESM di belakang dan ASM di hadapan
  • Kuasa: 345 kW (469hp), 645Nm
  • Bateri: 108.7 kWj bersih, 116 kWj kasar, sel silinder NMC
  • Pengecasan: DC sehingga 400 kW, AC sehingga 22 kW; sokongan pengecasan dua hala dan V2L sehingga 3.7 kW
  • Dimensi: Panjang 4,760 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,480 mm, jarak roda 2,897 mm
  • Jarak pemanduan: Sehingga 900 km mengikut WLTP
  • Sistem pemanduan: Heart of Joy mengawal stereng, brek, dan motor; Driving Assistant Plus Level 2
  • Suspensi: MacPherson strut di hadapan dan lima pautan di belakang, pilihan suspensi adaptif M 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here