
Jaecoo terus memperkukuh penawaran di UK menerusi pengenalan dua varian baharu untuk model Jaecoo 7, melibatkan edisi berimej gelap Black Luxury serta varian hibrid penuh pertama, SHS-H.
Langkah ini memperluaskan lagi penggunaan sistem hibrid daripada Chery International, yang kini dibezakan kepada SHS-P (hibrid plug-in) dan SHS-H (hibrid penuh).
Untuk pasaran tempatan, SUV ini dikenali sebagai J7 dengan enjin 1.5 liter turbo dan J7 PHEV yang boleh dipandu sehingga 1,300 km (NEDC).
Jaecoo 7 SHS-P Black Luxury –Gaya lebih eksklusif
Varian Jaecoo 7 SHS-P Black Luxury dibangunkan berasaskan model hibrid plug-in sedia ada, namun diberi sentuhan visual lebih agresif menerusi kemasan serba hitam.
Bahagian luaran menampilkan gril hadapan, logo, lencana Luxury, cermin sisi, rel bumbung dan rim dalam tona gelap, sementara ruang dalaman turut diserlahkan dengan kemasan hitam termasuk headliner dan pelindung matahari.
Pendekatan ini menjadikan SUV tersebut tampil lebih kemas dan premium tanpa menjejaskan ciri praktikal serta keupayaan yang sudah menjadi identiti model SHS-P.
Di UK, varian ini ditawarkan pada harga bermula £36,500 (RM190,603) dan hadir eksklusif dalam spesifikasi tertinggi.
SHS-H – Hibrid tanpa perlu cas
Buat pertama kali, Jaecoo 7 SHS-H diperkenalkan sebagai varian hibrid penuh yang tidak memerlukan pengecasan luaran. Model ini tidak ditawarkan di pasaran tempatan.
Jaecoo menyasarkan model hibrid penuh ini untuk pengguna yang mahukan kecekapan elektrifikasi tetapi dengan penggunaan harian lebih mudah.
Jaecoo 7 SHS-H ditawarkan dalam dua tahap spesifikasi, dengan harga bermula £29,195 (RM152,421) untuk Pure dan £32,795 (RM171,226) bagi Deluxe.
Varian asas sudah dilengkapi ciri moden seperti skrin 13.2 inci, sambungan tanpa wayar Apple CarPlay® dan Android Auto™, kawalan iklim dua zon serta sistem audio enam pembesar suara.
Versi Deluxe pula menambah kemasan eco-leather, sistem audio lapan pembesar suara dan skrin lebih besar bersaiz 14.8 inci.
Prestasi dan kecekapan
Dari aspek teknikal, SHS-H menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang digandingkan dengan sistem hibrid self-charging, menghasilkan kuasa 224 PS.
Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 8.3 saat dengan kelajuan maksimum sekitar 180 km/j.
Enjin ini turut menggabungkan teknologi seperti Deep Miller Cycle dan sistem pembakaran pintar, membolehkan kecekapan terma mencecah 44.5%.
Dalam penggunaan sebenar, ia menawarkan tahap bunyi rendah serta penggunaan bahan api sekitar 53 mpg (22.5 km/L) mengikut standard WLTP, menjadikannya antara pilihan menarik dalam segmen SUV hibrid.
Prestasi jualan kukuh di UK
Pengenalan varian baharu ini hadir ketika Jaecoo UK sedang menikmati momentum kukuh.
Sejak pelancaran, lebih 35,000 unit telah didaftarkan, manakala Jaecoo 7 muncul antara model paling popular apabila merekodkan jualan 1,446 unit pada Februari 2026 sahaja.
Jaecoo 7 SHS-P Black Luxury
Jaecoo 7 SHS-H





































