Utama Berita Automotif BMW F 450 R 2027, gaya naked dengan 48 PS dan 43Nm

BMW F 450 R 2027, gaya naked dengan 48 PS dan 43Nm

8
UWE FISCHER

Selepas motosikal kembara F 450 GS, BMW Motorrad kini tampil bersama BMW F 450 R, sebuah motosikal naked bike dengan tumpuan terhadap pengendalian mudah, prestasi dan keseronokan menunggang.

F 450 R dibangunkan sebagai model tersendiri dalam keluarga F 450 dan menggunakan bahasa reka bentuk yang diinspirasikan daripada BMW S 1000 R.

Enjin Dua Silinder 48 PS

BMW F 450 R digerakkan enjin 420 cc dua silinder selari dengan balance shaft dan 135-degree crankpin offset.

Enjin itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan pacuan sekunder di sebelah kiri menerusi rantai X-ring.

Ekzos bawah keluli tahan karat mempunyai dua penukar bermangkin.

Enjin menghasilkan kuasa 48 PS pada 8,750 rpm dan tork maksimum 43Nm pada 6,750 rpm.

Penunggang dapat menikmati sebanyak 80 peratus tork yang tersedia seawal 3,000 rpm.

BMW menyatakan penggunaan bahan api ialah 3.8 liter/100 km, manakala tangki bahan api berkapasiti 14 liter membolehkan jarak perjalanan lebih 350 km.

Berat sedia ditunggang pula hanya 175 kg. 

Easy Ride Clutch dan Shift Assistant Pro

UWE FISCHER

BMW menawarkan sistem Easy Ride Clutch (ERC) sebagai pilihan.

Sistem ini mengawal penggunaan klac mengikut kelajuan enjin bagi meningkatkan keselesaan dan kawalan.

Ia amat berguna ketika menunggang dalam trafik bandar, melakukan gerakan perlahan dan melalui jalan berselekoh.

Apabila digabungkan dengan Shift Assistant Pro, penunggang boleh bergerak dan menukar gear tanpa menggunakan tuil klac.

UWE FISCHER

Shift Assistant Pro ditawarkan pada semua varian kecuali model asas, namun boleh dipasang kemudian pada model tersebut.

Selain itu, penunggang mempunyai tiga mod yang boleh dipilih iaitu Rain, Road dan Dynamic.

Casis dan Suspensi

Casis BMW F 450 R menggunakan rangka ruang tiub keluli yang dikimpal bersama komponen tempa. Enjin dua silinder turut berfungsi sebagai elemen galas beban.

UWE FISCHER

Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik terbalik KYB berdiameter 43 mm. Untuk pilihan Sport Suspension, redaman lantunan dan mampatan boleh dilaraskan.

Bahagian belakang menggunakan lengan ayun dua sisi aluminium tuangan berongga bersama penyerap hentak tengah KYB yang dipasang terus.

Prabeban spring dan redaman lantunan boleh dilaras.

BMW F 450 R menggunakan rim aluminium tuang dengan tayar tanpa tiub bersaiz 110/70-17 di hadapan dan 150/60-17 di belakang.

Sistem Brek dan Keselamatan

UWE FISCHER

Set brek BMW F 450 R terdiri daripada cakera tunggal 310 mm dengan angkup monoblok empat omboh Brembo.

Brek belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup satu omboh ByBre.

BMW Motorrad ABS Pro menjadi ciri standard dan membolehkan ABS berfungsi ketika motosikal dalam keadaan condong.

Sistem Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Traction Control (DTC) dan Engine Drag Torque Control (MSR) turut menjadi kelengkapan standard.

Ergonomik dan Kelengkapan

UWE FISCHER

BMW F 450 R menggunakan hendal aluminium tirus yang diposisikan tinggi dan dekat dengan penunggang.

Pelana dua bahagian standard mempunyai ketinggian 790 mm. Pilihan pelana rendah menurunkannya kepada 775 mm, manakala pelana tinggi menaikkannya kepada 810 mm.

Model ini turut dilengkapi lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk kurungan, lampu isyarat membelok LED dan lampu belakang LED.

Skrin TFT 6.5 inci menjadi kelengkapan standard bersama fungsi Pure Ride Screen.

UWE FISCHER

Varian M Sport dengan Riding Modes Pro menerima tiga skrin tambahan Sport.

Paparan ini memaparkan maklumat DTC, daya membrek dan sudut kecondongan, selain fungsi pemasa pusingan.

Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk pedal kaki, pemijak kaki pembonceng yang dipasang pada rangka belakang serta pemegang hendal dengan fungsi pemanas.

Corak pertukaran gear juga boleh diterbalikkan untuk tunggangan di litar.

Empat Varian BMW F 450 R

UWE FISCHER

BMW F 450 R ditawarkan dalam empat varian:

  • BMW F 450 R Base: Cosmic Black.
  • BMW F 450 R Exclusive: Cosmic Black, Shift Assistant Pro dan Sport Suspension.
  • BMW F 450 R M Sport: Snaefell White / M Motorsport, Riding Modes Pro, Shift Assistant Pro dan Sport Suspension.
  • BMW F 450 R M Sport dengan Innovation Package: termasuk Easy Ride Clutch, Riding Modes Pro, Shift Assistant Pro dan Sport Suspension.

Riding Modes Pro mempunyai mod tambahan Dynamic Pro yang boleh dikonfigurasi mengikut pilihan penunggang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here