
Pejabat Pendakwa Raya Agung (Kejagung) Indonesia menyita wang tunai bernilai IDR 24.9 bilion (RM5.68 juta) termasuk sebuah pesawat, helikopter, serta pelbagai kenderaan mewah berhubung skandal rasuah program Makanan Bergizi Gratis (MBG) di Badan Gizi Nasional (BGN) era Dadan Hindayana.
Penyitaan aset terbabit dijalankan oleh Pendakwa Raya Bidang Tindak Pidana Tentera Republik Indonesia berhubung kes dugaan rasuah perolehan motosikal elektrik oleh syarikat swasta PT Yada Artha Trimanunggal (PT YAT) bagi tahun 2025 hingga 2026.
Ketua Pusat Penerangan Hukum Kejagung, Anang Supriatna berkata sitaan tersebut dilakukan dalam proses penyiasatan kes melibatkan Pejabat Pembuat Komitmen (PPK) bernama Kolonel Budi Utomo bersama empat individu dari pihak swasta.
“Hasil penjejakan aset dan penggeledahan, pihak penyiasat berjaya merampas kira-kira lima unit telefon bimbit, 89 dokumen serta wang tunai berjumlah IDR24.970 bilion.
“Manakala aset fizikal yang disita ialah satu unit pesawat Textron Aviation, satu unit helikopter Bell 505, satu unit kenderaan Hino, dua unit kenderaan BYD, sebuah BYD Dolphin dan Lexus LM500 model 2025,” katanya.
Budi Utomo yang menjawat jawatan Setiausaha Timbalan Bidang Penyediaan dan Pengagihan BGN didakwa bekerjasama dengan pihak swasta untuk menguruskan proses perolehan motosikal elektrik.
Pengurusan tersebut didakwa merangkumi penentuan pemenang, spesifikasi barangan, sehingga Harga Anggaran Sendiri (HPS).
Suspek didakwa memanipulasi laporan akhir perolehan yang mana jumlah bekalan asal yang dijanjikan sebanyak 25,644 unit telah dipinda kepada 21,000 unit.
“Jumlah yang dijanjikan adalah sekitar 25,644 unit. Namun dalam pelaksanaan telah dipinda menjadi 21,000 unit, dan pada akhirnya sekitar Mac 2026, realisasi sebenar cuma 2,117 unit, tetapi laporan dibuat seolah-olah sudah selesai sekitar 21,800 unit. Jadi ia tidak sepadan,” katanya.
































