
Timbalan Ketua Komisi IX DPR, Charles Honoris menyatakan Komisi IX DPR akan memanggil Badan Gizi Nasional (BGN) untuk meminta penjelasan berkaitan perolehan ribuan motosikal elektrik bagi ketua-ketua Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG).
“Kami akan memanggil dan meminta pertanggungjawaban rasmi daripada BGN. Kita tidak akan membiarkan bajet negara digunakan tanpa akauntabiliti yang jelas,” katanya.
Kritikan perolehan ribuan motor elektrik oleh BGN merupakan satu masalah sekiranya ia pernah ditolak Kementerian Kewangan.
“Jika benar perolehan ini pernah ditolak oleh Kementerian Kewangan, namun tetap diteruskan oleh BGN, maka ini sudah memasuki isu pelanggaran dalam tata kelola bajet negara.
“Tidak boleh ada lembaga yang merasakan mereka boleh berjalan di luar mekanisme bajet yang sah,” kata Charles.
Charles menyifatkan ia sebagai potensi pembaziran yang serius ketika fiskal negara sedang tertekan dan semua diminta berjimat.
“Namun sebaliknya berlaku perolehan puluhan ribu motosikal elektrik yang kepentingannya tidak jelas. Saya tegaskan program pemakanan bukan program bagi-bagi projek.
“Fokus utama harus diberikan kepada penambahbaikan pemakanan kanak-kanak, bukan pada perolehan yang berpotensi dibuat-ada. Jika tidak ada penjelasan yang kukuh dan telus berkaitan dasar peruntukan dan kepentingannya, maka ini wajar disyaki sebagai dasar yang tidak tepat dan harus dihentikan,” tambahnya.
MENTERI KEWANGAN AKUI TOLAK BAJET MOTOSIKAL ELEKTRIK

Sehari sebelumnya, Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa mengakui bahawa pihaknya pernah menolak cadangan bajet perolehan komputer dan motosikal operasi untuk program Makan Bergizi Gratis (MBG).
“Setahu saya tahun lalu pernah diajukan juga untuk motosikal dan komputer kalau tidak salah, tetapi ditolak,” jelasnya.
Beliau menambah, bagi permohonan bajet tahun ini, pihaknya belum mengetahui secara pasti dan akan melakukan semakan lanjut.
“Yang tahun ini saya tidak tahu, nanti saya akan semak lagi. Seharusnya sama.
“Tetapi bukankah seharusnya yang utama adalah untuk makanan? Bagi pihak peniaga, mereka sudah pun mendapat keuntungan yang cukup,” ujarnya.
BGN mengesahkan pembelian motosikal elektrik untuk operasi SPPG selepas sebuah video tular di media sosial yang memaparkan ratusan unit motosikal elektrik dengan pelekat BGN dan masih berbungkus plastik.
Ketua BGN, Dadan Hindayana tampil mengesahkan perolehan kenderaan roda dua untuk operasi ketua SPPG dan mendakwa ia termasuk dalam bajet 2025 susulan tularnya video berkenaan.
Dadan memaklumkan bahawa motosikal itu belum diagihkan. Menurutnya, kenderaan yang telah tersedia masih perlu melalui proses pentadbiran sebagai Barang Milik Negara (BMN) sebelum boleh digunakan.
Beliau juga menafikan narasi dalam video tular yang menyebut jumlah perolehan mencecah 70,000 unit yang mana jumlah keseluruhan motosikal elektrik sebanyak 21,801 unit daripada 25,000 unit yang dipesan pada tahun 2025.
KETELUSAN PEMBELIAN
View this post on Instagram
Lembaga pemerhati bajet, Center for Budget Analysis (CBA) mendapati perolehan motosikal elektrik itu menggunakan sistem e-purchasing yang mana pembelian barangan atau perkhidmatan secara langsung melalui katalog dalam talian rasmi negara, tanpa lelongan atau tender.
Secara ringkas, e-purchasing itu seperti membeli-belah di marketplace tetapi khusus untuk kerajaan.
Cara ini dibenarkan secara undang-undang dengan tujuan perolehan menjadi lebih cepat dan ringkas. Namun, menurut Pengarah Eksekutif CBA, Uchok Sky Khadafi, ia sukar dikesan oleh orang awam.
“Perolehan motosikal ini menggunakan sistem E-Purchasing agar senyap dan tidak dapat dipantau oleh orang awam, dan hal ini berjaya,” katanya.
Uchok mendakwa pasukannya dapat mengakses sistem itu dan menemui jumlah unit motosikal yang lebih banyak daripada yang dijelaskan pihak BGN.
“Bajet motosikal BGN adalah sebanyak IDR3.2 Trilion untuk 65,067 unit. Perolehan motosikal ini sudah dilaksanakan pada tahun 2025,” katanya.
Menurut Uchok, harga motosikal elektrik MBG itu agak mahal dengan nilai yang besar, perolehan barangan sepatutnya dilakukan melalui tender.
“Banyak syarikat yang mempunyai motosikal. Sepatutnya jangan E-purchasing. Seharusnya tender, lelong. Jika lelong, bermakna kita boleh lihat mana yang terbaik dan mana yang termurah,” katanya.
Beliau juga mengkritik bahawa tidak semua wilayah di Indonesia sesuai dengan spesifikasi motosikal elektrik tersebut.
“Dan pembelian borong motosikal ini, BGN jauh daripada kecekapan bajet. Hanya membazirkan wang sahaja ketika fiskal sedang sangat menurun. Pembelian borong motosikal ini harus disiasat oleh badan undang-undang, harganya terlalu mahal dan mencurigakan,” katanya.































