Utama Berita Automotif Senator AS mahu haramkan terus kereta China

Senator AS mahu haramkan terus kereta China

9

Senator Republikan, Bernie Moreno berkata akan memperkenalkan perundangan bagi memperketatkan lagi larangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap pembuat kereta China daripada memasuki pasaran negara tersebut, pada bulan ini. 

Bahkan, Bernie juga menggalakkan negara lain untuk melakukan langkah yang sama. 

Sebelum ini, pentadbiran Biden telah melaksanakan peraturan menyeluruh yang secara berkesan melarang semua pengeluar kereta China menjual kenderaan penumpang di AS pada Januari 2025.

Langkah itu diambil kerana kebimbangan keselamatan negara mengenai keupayaan kenderaan tersebut untuk mengumpul data sensitif pemilik Amerika.

Larangan itu mendapat sokongan padu daripada jenama kereta AS dan kumpulan automotif lain.

Pengerusi BYD, Wang Chuanfu dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán.

Awal bulan ini, organisasi perdagangan automotif utama menggesa kerajaan AS untuk menyekat kemasukan kereta China ke dalam negara menjelang sidang kemuncak yang dirancang antara Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada bulan Mei.

Senator Bernie berkata perundangan yang dicadangkan akan lebih ketat daripada sekadar larangan import, agar tidak akan ada senario kereta China memasuki pasaran Amerika, sama ada dari segi perkakasan, perisian, mahupun kerjasama.

“Tidak akan ada kereta China di sini. Dan apa yang saya harapkan ialah Amerika Latin, Mexico, Kanada dan Eropah, menerima pakai piawaian yang sama seperti kami sekarang. 

“Kami tidak membenarkan Huawei memasuki infrastruktur telekomunikasi kami. Kami juga tidak akan membenarkan pembuat kereta China masuk ke pasaran ini.

“Kami akan menghalang kanser ini daripada memasuki pasaran kami, dan kita memerlukan negara lain untuk melakukan kemoterapi,” ujarnya. 

Kedutaan China di Washington menyatakan bahawa pintu China sentiasa terbuka kepada syarikat kereta global, namun Amerika Syarikat telah terlibat dalam perlindungan perdagangan dan mewujudkan halangan termasuk menyekat akses kereta buatan China ke pasaran AS. 

Kedutaan itu menambah bahawa perundangan Bernie melanggar prinsip pasaran ekonomi dan persaingan adil, serta merupakan tipikal perlindungan perdagangan dan paksaan ekonomi yang mana China menentang keras. 

Trump dijangka melawat China pada bulan Mei ketika dua ekonomi terbesar dunia itu berusaha mengekalkan kestabilan yang telah mencirikan hubungan mereka sejak akhir tahun lalu, selepas tempoh mencabar yang ditandai oleh tarif Trump dan sekatan China terhadap eksport nadir bumi.

Pada Januari, Trump berkata beliau terbuka untuk pembuat kereta China membina kenderaan di Amerika Syarikat.

“Jika mereka mahu datang dan membina kilang serta menggaji anda, rakan-rakan, dan jiran-jiran anda, itu bagus, saya suka perkara itu,” katanya kepada Kelab Ekonomi Detroit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here