
Penantian peminat automotif tanah air berakhir apabila Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) secara rasmi melancarkan SUV kompak terbaharu, Mitsubishi Xforce.
Model yang memenangi pelbagai anugerah reka bentuk di peringkat global itu hadir untuk mencabar dominasi segmen-B menerusi tawaran dua pilihan varian :
- Urban: RM109,980
- Ultimate: RM119,980
Model pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan Pekan, Pahang itu menggunakan enjin 4A91 1.5 liter aspirasi semulajadi petrol berkuasa 105 PS @ 6,000rpm dan tork 141Nm @ 4,000 rpm bersama transmisi CVT.
Penampilan luaran diserlahkan menerusi padanan fender flare yang berotot, gerbang roda jenis terbenam serta garis bumbung yang landai lalu dipertemukan dengan tiang-C separa hitam bagi mencipta kesan bumbung terapung.
Bahagian depan dan belakang dilengkapi dengan lampu bentuk ‘T’ LED yang memberikan identiti futuristik. Kemudian, Mitsubishi memilih rim aloi dwi-tona lima jejari bersaiz 18-inci dengan balutan tayar berprofil 225/50 untuk kedua-dua varian.
Masuk ke kabin, rekaan papan pemuka yang bersudut lebih rendah dan mendapat kemasan fabrik serta tempat duduk hadapan dengan pelarasan manual, sandaran tempat duduk belakang boleh dilaraskan 8-tahap serta dilipat 40:20:40 serta perehat tangan tengah dengan fungsi penyejukan.
Varian Urban didatangkan dengan meter analog, paparan pelbagai maklumat (MID) TFT 4.2-inci serta unit utama skrin sentuh 8-inci.
Kelengkapan lain termasuklah upholsteri tempat duduk kulit tiruan, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay menggunakan wayar, sistem bunyi enam pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon dan perakam video digital hadapan.
Varian Ultimate pula mendapat lebih banyak ciri menarik misalnya kluster instrumen digital 8-inci serta sistem infotainmen skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Ia juga didatangkan dengan mod pemanduan Normal, Wet, Gravel dan Mud, pembersihan udara nanoe X, pad pengecasan tanpa wayar, lampu ambien biru, pintu belakang berkuasa elektrik dengan fungsi bebas tangan, cermin pandang belakang auto malap dan tambahan DVR belakang serta sistem audio premium Dynamic Sound Yamaha dengan lapan pembesar suara.
Papan pemuka XForce Ultimate juga lebih bergaya dengan tenunan White Mélange dan kemasan Mocha untuk tempat duduk berbanding varian Urban yang serba hitam.
Dari segi keselamatan, varian Urban dilengkapi dengan empat beg udara, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), bantuan tukar lorong, sensor parkir hadapan dan belakang serta monitor pandangan sekeliling.
Varian Ultimate pula didatangkan dengan enam beg udara di samping tambahan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem bantuan aktif seperti pengurangan perlanggaran hadapan dengan brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan pelayaran adaptif (ACC), dan lampu tinggi automatik.
Xforce juga dianugerahkan penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP dan menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 222mm yang mengurangkan kembimbangan apabila perlu meredah banjir kilat atau bonggol tinggi.
Di samping itu, MMM turut menawarkan pakej aksesori tambahan melibatkan :
- Excitement : RM4,100 (kemasan bahagian bawah di depan/belakang, sisi pintu)
- Urban Level Up : RM1,000 (Spoiler bonet belakang, lencana hud enjin)
- Practicality : RM700 (pelapik bonet, madgad)
- Rel bumbung : RM2,200
- Plat scuff : RM355
- Visor pintu : RM205
- Pencuci fabrik : RM50




































