
Motosikal elektrik Flying Flea C6 yang dihasilkan oleh Royal Enfield pertama kali dipertontonkan pada acara EICMA beberapa tahun yang lalu.
Ia bakal dilancarkan di pasaran India pada 10 April ini, menandakan langkah penting jenama itu ke dalam kancah EV.
Flying Flea C6 dikuasakan oleh motor elektrik 20 hp yang dipadankan dengan pek bateri 3.91 kWh.
Ia mampu memecut sepantas 3.7 saat dari 0-60 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 115 km/j.
Dengan sekali cas penuh, Flying Flea C6 boleh mencapai jarak tunggangan sejauh 154 km, dan menyokong pengecasan 20-80 peratus dalam tempoh 65 minit.
Antara kelengkapan yang wujud pada motosikal elektrik ini termasuklah sistem pencahayaan LED penuh, sistem navigasi berasaskan Google, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta bantuan elektronik seperti cornering ABS, kawalan cengkaman, dan mod tunggangan Sport & Individual.
Dari segi rekaan, Flying Flea C6 membawakan pakej yang kompak dan berat cuma 124 kg sahaja, menjadikannya model Royal Enfield yang paling ringan pernah dihasilkan.
Ia turut menampilkan kerangka terdedah, suspensi depan jenis girder, dan juga pelana terapung.
Harga jualan akan diumumkan semasa pelancaran rasmi yang akan berlangsung tidak lama lagi.
































