
Jenama Royal Enfield sangat terkenal dengan rekaan motosikal bersesaran sederhana yang ringkas, bergaya dan dalam masa yang sama mampu milik.
Namun, jenama itu dilapor akan menembusi pasaran motosikal segmen 250 cc menerusi kerjasama dengan sebuah lagi syarikat motosikal China, iaitu CFMoto.
Sekiranya laporan tersebut tepat, Royal Enfield sedang meneroka kemungkinan untuk memperoleh enjin 250 cc daripada CFMoto yang pada ketika ini sudah pun mematuhi piawaian emisi ketat BS6 Fasa 2 di India.
Enjin 250 cc itu juga dikatakan bakal wujud dalam versi hibrid, membolehkan Royal Enfield terus menawarkan produk yang relevan terutama di negara yang bakal melaksanakan peraturan yang lebih ketat.
Kolaborasi antara dua jenama besar ini bakal memperlihatkan dua kemungkinan.
Satu, Royal Enfield akan hadir dengan produk dengan kerangka, penggayaan dan karakter serba baharu dengan menggunakan enjin 250 cc CFMoto.
Kedua, besar kemungkinan Royal Enfield akan menggunakan asas daripada model motosikal CFMoto sedia ada sebelum diubah aspek rekaan luaran bagi menepati cita rasa jenama motosikal klasik tersebut.
Apa pun yang bakal terjadi, kerjasamana ini berpotensi untuk menakrifkan semula segmen motosikal premium aras mula. Apa pendapat anda? Adakah ia sesuatu yang patut dilakukan oleh Royal Enfield untuk menakluk segmen sesaran kecil?