
Penggunaan komponen turbo elektrik (atau e-turbo) bukanlah satu perkara asing di dalam dunia automotif, terutama bagi segmen kenderaan beroda empat.
Namun, tidak banyak motosikal di atas dunia ini yang menampilkan teknologi tersebut.
Yamaha baru-baru ini memfailkan beberapa paten berkaitan penggunaan e-turbo pada motosikal.
Potensi idea tersebut telah pun diteroka sejak beberapa tahun lepas bertujuan untuk mengurangkan kadar emisi dan menambah baik aspek kecekapan penggunaan bahan api.
Malah pada tahun 2020, Yamaha secara senyap memperlihatkan prototaip motosikal turbo, dengan enjin tiga silinder 847 cc yang dipadankan pada casis MT-10 yang diubahsuai.
Ia berupaya menghasilkan kuasa 180 hp dan daya kilas 176 Nm, dalam masa yang sama mampu mengurangkan 30 peratus emisi CO2 dan mengurangkan pembuangan NOx, CO dan hidrokarbon.
Salah satu masalah yang membelenggu penggunaan turbo pada motosikal ialah ruang untuk memuatkan segala komponen yang diperlukan, dan satu lagi ialah masalah turbo lag.
Solusinya ialah e-turbo yang boleh dioperasikan menggunakan tenaga elektrik, seperti yang telah wujud pada model produksi sebenar Mercedes dan Porsche.
E-turbo beroperasi seperti biasa, namun dengan penambahan motor elektrik untuk memutarkan turbin dan membina tujahan (boost).
Ini bermakna, kesan turbo lag boleh dikurangkan kerana tekanan tujahan sudah tersedia pada sebarang putaran enjin atau bukaan pendikit.