
Toyota tidak pernah bosan mempromosikan teknologi hidrogen sebagai penyelesaian mobiliti hijau.
Terbaharu, Toyota mendaftarkan paten sebuah skuter (ya, skuter!) dengan sistem sel bahan api hidrogen yang boleh ditukar ganti.
Ia merupakan satu respons kepada kekurangan fasiliti pengisian hidrogen tidak seperti stesen pengecasan dan penukaran bateri yang lebih meluas.
Menurut paten tersebut, Toyota mencadangkan pendekatan menukar tangki hidrogen sama seperti menukar bateri pada skuter elektrik.
Tangki hidrogen berbentuk silinder itu dipasang di bahagian tengah motosikal dan boleh ditarik keluar dari bahagian sisi untuk memudahkan penukaran.
Usah risau kerana tangki tersebut masih cukup ringan untuk diangkat disebabkan sifat hidrogen itu sendiri yang sangat ringan walaupun dimampatkan sehingga 10,000 psi.
Kedudukan tangki di bahagian tengah juga dikatakan membantu agihan berat dan pusat graviti yang lebih seimbang, dan juga perlindungan ketika berlakunya sebarang kemalangan.
Toyota pada tahun 2022 telah mempatenkan binaan katrij hidrogen mudah alih yang boleh digunakan pada skuter, kereta kecil, dron, pemanas rumah dan sistem tenaga domestik.
Ini bukanlah kali pertama pengeluar automotif memfokuskan kepada sel bahan api pada motosikal.
Honda sebelum ini pernah bereksperimen dengan sistem FC Stack pada tahun 2004, dan Suzuki sendiri menerusi model Burgman Fuel Cell yang dibangunkan selama hampir 10 tahun dan pernah digunakan secara percubaan di jalan raya.
Masalahnya tetap satu, kekurangan stesen pengisian hidrogen.
Jadi, adakah paten yang didaftarkan oleh Toyota ini dapat menyelesaikan masalah tersebut?





