Toyota GR Yaris Rally2 H2 Concept dengan hidrogen dipandu juara WRC Juha Kankkunen!

53

Sebuah detik bersejarah bakal tercipta di pentas Rali Finland apabila TOYOTA GAZOO Racing secara rasminya memperkenalkan GR Yaris Rally2 H2 Concept, sebuah kereta rali berenjin hidrogen yang inovatif.

Di sebalik kemunculan sulung ini, legenda rali dunia, Juha Kankkunen, juara WRC empat kali (1986, 1987, 1991, 1993) dan Timbalan Ketua Pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team (TGR-WRT) bakal memandu kereta tersebut.

Ini adalah langkah berani TOYOTA dalam usaha mereka untuk menghasilkan kereta yang lebih baik berteraskan sukan permotoran dan merealisasikan masyarakat neutral karbon.

Perjalanan TOYOTA dengan Enjin Hidrogen

TOYOTA aktif bersaing dengan enjin hidrogen sejak tahun 2021, menggunakan Corolla berenjin hidrogen dalam siri Super Taikyu di Jepun.

Jari-Matti Latvala, Ketua Pasukan TGR-WRT, adalah antara pemandu yang telah berlumba dengan sistem rangkaian kuasa inovatif ini dan memberikan maklum balas penting dalam pembangunannya.

Pada tahun 2022, teknologi hidrogen ini pertama kali ditunjukkan di peringkat rali Eropah.

GR Yaris H2 eksperimen membuat kemunculan sulungnya di pusingan Kejuaraan Rali Dunia FIA di Belgium, dipandu oleh Akio Toyoda dan Juha Kankkunen.

GR Yaris Rally2 H2 Concept: Teknologi dan Potensi

Dari usaha pembangunan yang berterusan, lahirlah Rally2 H2 Concept. Kereta ini bakal membuat penampilan di Rali Finland, menawarkan peminat rali pengalaman langsung terhadap potensi hidrogen sebagai salah satu alternatif untuk sukan permotoran dalam era neutral karbon.

GR Yaris Rally2 H2 Concept dibina berdasarkan casis GR Yaris Rally2 yang terbukti berjaya.

Ia dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen termampat sebagai bahan api. Sistem ini menghasilkan emisi hampir sifar sambil mengekalkan bunyi dan sensasi pemanduan yang digemari oleh peminat rali.

Penampilan Awam dan Pameran

Pembangunan GR Yaris Rally2 H2 Concept telah dijalankan di ibu pejabat TGR-WRT di Jyväskylä, Finland.

Ujian dilakukan di jalan raya tempatan, termasuk di jalan hutan berkerikil yang menyerupai trek Rali Finland.

Untuk penampilan di khalayak ramai, kereta ini akan dipamerkan di peringkat (rally stage) Harju yang mempunyai permukaan bercampur di tengah-tengah Jyväskylä.

Peringkat ini akan berlangsung sebagai peringkat pembukaan rali pada petang Khamis dan sekali lagi sebagai SS10 pada hari Jumaat, dengan Kankkunen akan memacu kereta ini.

Selain demonstrasi di trek, GR Yaris Rally2 H2 Concept juga akan dipamerkan di kawasan servis sepanjang acara.

Ia akan diletakkan bersebelahan dengan kenderaan hidrogen lain seperti Toyota Mirai dan Tundra.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here