
Hidrogen kini menjadi topik utama penyelidikan oleh beberapa pengeluar utama automotif Jepun seperti Kawasaki, Toyota dan juga Yamaha.
Satu masalah utama yang menjadi penghalang ialah teknologi yang terlalu mahal dan rumit untuk disesuaikan pada kenderaan kegunaan harian, serta haba yang dihasilkan terlalu tinggi.
Salah satu model sel bahan api hidrogen yang paling cekap ialah solid-oxide fuel cell (SOFC), namun ia memerlukan suhu operasi melebihi 700 darjah Celcius – terlalu panas untuk digunakan di peringkat pengguna.
Namun, sepasukan pengkaji dari Universiti Kyushu, Fukuoka berjaya membina SOFC yang dapat beroperasi cekap pada suhu sekitar 300 darjah Celcius.
Rahsianya ialah elektrolit yang diadunkan dengan resipi baharu menggunakan bahan barium stannate, barium titanate serta bahan nadir scandium, menghasilkan ‘lebuh raya proton’ yang membenarkan hidrogen beroperasi sama cekap pada suhu yang lebih rendah.
Dengan perkembangan terbaharu ini, ia dilihat dapat menjadikan teknologi sel bahan api yang boleh digunakan untuk aplikasi yang lebih kecil seperti motosikal.
Dengan adanya sistem FCEV yang lebih kompak, pengguna motosikal bakal mendapat manfaat kuasa segera seperti EV, tidak perlu menunggu dengan lebih lama untuk proses pengecasan dan paling penting, penghasilan emisi sifar.