
Lama tidak mendengar khabar mengenasi model enjin pembakaran dalaman (ICE) dari Lotus dan terbaru syarikat dari Britain ini tampil memperkenalkan Emira 420 Sport.
Model ini dibangunkan sebagai varian Emira paling berkuasa, paling ringan dan paling berkeupayaan dari sudut aerodinamik yang pernah dihasilkan buat masa sekarang.
420 Sport berada di kedudukan tertinggi dalam barisan Emira dan dibangunkan khusus untuk menawarkan prestasi lebih tinggi di jalan raya serta litar.
Enjin 2.0L Turbo 420 ps, 500Nm
Lotus menyatakan Emira 420 Sport terus mengekalkan DNA jenama itu menerusi tahap kelincahan, respons dan penglibatan pemandu yang dipertingkatkan.
Emira 420 Sport menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder dari AMG dan menghasilkan 420 ps dan 500Nm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan bagi memberikan pecutan lebih pantas serta respons gear lebih segera.
Pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 299 km/j.
Lebih ringan dan lebih berprestasi dengan Lightweight Handling Pack
Dengan pakej pilihan Lightweight Handling Pack, Emira 420 Sport 25 kg lebih ringan berbanding Emira Turbo.
Model itu juga menghasilkan tambahan 25 kg daya mendap selain menawarkan tahap kelincahan dan respons yang dipertingkatkan.
Pakej tersebut merangkumi penyerap hentak Multimatic boleh laras dua sisi, sistem ekzos titanium dan bateri litium-ion.
Turut dilengkapi komponen gentian karbon dan aplikasi Lotus Track Performance untuk merekod serta mengukur catatan masa pusingan litar.
Aerodinamik dan penyejukan dipertingkat
Lotus melakukan beberapa semakan aerodinamik bagi meningkatkan penyejukan dan prestasi di litar tanpa menambah seretan angin.
Antara perubahan luaran termasuk splitter hadapan baharu dan liang udara hadapan yang disemak semula.
Perubahan turut dibuat pada skirt sisi yang dipanjangkan, saluran udara lebih besar, spoiler bibir belakang dan penutup enjin belakang jenis berbilah.
Hasilnya, aliran udara ke radiator sisi meningkat 15 peratus, radiator tengah meningkat 14 peratus, penyejukan brek bertambah 10 peratus dan aliran udara injap ekzos meningkat 30 peratus.
Lotus berkata peningkatan tersebut membolehkan prestasi lebih konsisten dalam keadaan mencabar terutama ketika pemanduan di litar.
Rekaan luaran itu turut diinspirasikan daripada warisan Lotus termasuk elemen yang pernah digunakan pada Esprit Turbo.
Suspensi dan casis dipertingkat
Emira 420 Sport dibangunkan berdasarkan reputasi Lotus dalam aspek ketepatan stereng dan keseimbangan casis.
Ketinggian badan direndahkan 5 mm bersama talaan suspensi baharu serta tayar berprestasi tinggi bagi meningkatkan kawalan dan maklum balas pemanduan.
Casis aluminium jenis bonded bersama suspensi double wishbone pula direka untuk menggabungkan keselesaan dan ketepatan pengendalian yang menjadi identiti Emira.
Sistem stereng kuasa elektro hidraulik turut dikekalkan bagi memberikan maklum balas lebih terperinci kepada pemandu.
Dalaman lebih fokus kepada pemandu
Bahagian dalaman Emira 420 Sport direka untuk kegunaan jalan raya dan litar menerusi susun atur yang memfokuskan kepada pemandu.
Ia dilengkapi tempat duduk larasan 12 hala, kawalan intuitif dan pedal gear gentian karbon baharu bersama sistem haptik yang dikemas kini bagi meningkatkan respons dan penglibatan pemanduan.
Pilihan personalisasi lebih luas
Lotus turut menawarkan pakej luaran gentian karbon sebagai pilihan tambahan.
Pakej itu merangkumi pemisah hadapan, sisi badan, liang udara arka roda, pod sisi, spoiler belakang dan kemasan difuser belakang.
Pelanggan juga boleh memilih daripada sembilan rekaan roda bersama pelbagai kemasan termasuk rim tempa 20 inci baharu rekaan 15 jejari berwarna satin kelabu gelap.
Pilihan warna badan pula merangkumi 16 warna dengan Tangelo Orange menjadi warna eksklusif untuk Emira 420 Sport.
Pakej Carbon Fibre dan Pakej Hand Painted
Pakej Carbon Fibre menambah kemasan gentian karbon pada bahagian sekeliling paparan pemandu, jejari tengah stereng dan kemasan logo pada tempat duduk.
Pakej Hand Painted pula menggunakan warna Tangelo Orange pada konsol tengah, jejari stereng, bahagian dalaman tuil gear dan sekeliling corong pendingin hawa.
Bumbung kaca boleh tanggal pertama untuk Emira
Lotus turut memperkenalkan panel bumbung kaca gelap boleh tanggal buat pertama kali untuk Emira.
Diinspirasikan daripada Esprit, panel tersebut boleh ditanggalkan dengan mudah dan disimpan di belakang tempat duduk dalam beg khas.
Ia membolehkan pemandu menukar konfigurasi daripada coupé kepada pemanduan terbuka dengan mudah tanpa menjejaskan prestasi dinamik kenderaan.
Ciri itu kini ditawarkan untuk semua varian Emira.
Penghantaran bermula Ogos 2026
Emira 420 Sport sudah dibuka untuk tempahan dengan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula Ogos 2026.
Harga permulaan mengikut pasaran adalah seperti berikut:
• Eropah: €129,900 (RM600,038)
• United Kingdom: £105,900 (RM564,765)
• Amerika Syarikat: $122,900 (RM489,142)
Spesifikasi ringkas Lotus Emira 420 Sport
• Enjin: 2.0 liter turbo empat silinder
• Kuasa: 420 ps, 500Nm
• Transmisi: Klac berkembar lapan kelajuan
• Pacuan: Roda belakang
• 0 hingga 100 km/j: 3.9 saat
• Kelajuan maksimum: 299 km/j
• Pengurangan berat: 25 kg lebih ringan berbanding Emira Turbo
• Tambahan daya mendap: 25 kg
• Suspensi: Double wishbone
• Penyerap hentak: Multimatic boleh laras dua sisi
• Rim: 20 inci tempa 15 jejari
• Pilihan warna badan: 16
• Bumbung: Panel kaca gelap boleh tanggal









































