Utama Berita Automotif Kereta ditukar milik tanpa pengetahuan, JPJ gantung urusan online bermula hari ini

Kereta ditukar milik tanpa pengetahuan, JPJ gantung urusan online bermula hari ini

106
Tips beli kereta terpakai

Gara-gara aduan lambakan kes kenderaan yang bertukar hak milik tanpa pengetahuan pemilik sebenar, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan penangguhan serta-merta urus niaga Tukar Hak Milik (THM) secara dalam talian. 

Langkah drastik itu bermula hari ini melibatkan semua saluran dalam talian termasuk portal awam, kiosk, serta rakan niaga seperti MyEG dan eAuto Sdn Bhd.

Menurut kenyataan, JPJ memandang serius perkara berkenaan khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.

“Sehubungan dengan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” jelasnya. 

Ini prosedur baharu yang perlu anda tahu:

  • Persendirian Individu: Urusan boleh dibuat pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan.
  • Persendirian Syarikat: Proses pengesahan dan kelulusan akan mengambil masa lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh dokumen lengkap diserahkan.
  • Sistem eAuto: Hanya Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja beroperasi. Sistem tukar hak milik kekal (eSTM) ditangguhkan sepenuhnya.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, keputusan itu diambil susulan peningkatan aduan rasmi dan tular di media sosial mengenai modus operandi pihak tidak bertanggungjawab yang mampu menukar hak milik kenderaan mangsa tanpa sebarang kebenaran.

“JPJ memandang serius perkara ini. Integriti sistem pendaftaran kenderaan adalah keutamaan bagi melindungi kepentingan pemilik.

“Bagi pihak syarikat kenderaan terpakai yang perlu melaksanakan urusan eSTM, mereka kini wajib mengemukakan permohonan secara fizikal di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan,” ujarnya. 

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah isu ini dan segera menyemak serta mengemaskini maklumat kenderaan masing-masing di sistem JPJ bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here