
Tidak tahan dengan pencemaran bunyi keterlaluan, pemilik rumah “Eye of Jinxi” yang paling popular di wilayah Jiangxi akhirnya dilapor keluar dari rumah tersebut.
“Eye of Jinxi” menjadi sebutan ramai di China apabila sebuah lebuh raya dibina di kawasan tersebut.
Biarpun ditawarkan dengan pampasan oleh kerajaan tempatan, pemilik rumah tersebut pada mulanya berdegil dan enggan berpindah keluar.
Sehingga satu tahap, Huang Ping (bukan nama sebenar) ditawarkan pakej pampasan bernilai 1.6 juta yuan (RM942 ribu).
Namun tawaran tersebut ditolak kerana ia akan dibayar dalam dua ansuran.
Huang akhirnya menyesali kedegilannya selepas kerajaan membuat keputusan untuk terus membina lebuh raya di sekeliling rumahnya.
Disebabkan tiada sebarang penebat bunyi yang dipasang, Huang dan keluarganya tidak tahan dengan bunyi bising trak-trak besar yang melalui kawasan rumahnya itu.
Tidak diketahui bilakah tarikh sebenar keluarga tersebut meninggalkan rumah itu, namun masyarakat sekeliling mula perasan apabila tingkap rumah sudah pecah dan rumput liar mula tumbuh sejak berbulan-bulan.
Apabila dihubungi media tempatan, pemilik rumah tersebut mengesahkan mereka telah mengabaikan tanah tersebut disebabkan gangguan bunyi bising dan gegaran yang berterusan.
Biarpun rumah tersebut akan dirobohkan, Huang hanya akan menerima sebahagian kecil daripada pampasan yang dijanjikan.