KKR : Lebuh raya, jalan raya baharu akan dibina dengan terowong hidupan liar

10

Habitat semulajadi yang dahulunya luas kini terpisah oleh laluan berturap susulan pembinaan jaringan jalan raya.

Pembinaan jalan raya yang mengganggu habitat semula jadi ini menjadi ancaman maut kepada haiwan yang merentasinya untuk mencari makanan, pasangan atau wilayah baharu.

Seperti mana insiden yang berlaku baru-baru ini mengorbankan seekor anak gajah di Grik, Perak.

Justeru itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan elemen ‘Laluan Selamat Lintasan Habitat Hidupan Liar’ dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya dan lebuh raya baharu serta menambah jumlah Culvert Animal Crossing sedia ada.

KKR mengambil contoh pembinaan terowong Lebuhraya Persisiran Barat (WCE) di jajaran Taiping Selatan-Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Syabas dan Terima Kasih kepada syarikat WCE yang telah melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuhraya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain melintasi lebuh raya dengan selamat.
 
“Culvert Animal Crossing ini dibina di jajaran Taiping Selatan – Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan dari Jabatan Perhilitan,” katanya.
 
Di samping WCE, pelaksanaan laluan selamat melibatkan jejambat ekologi turut dibangunkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dan Central Spine Road (CSR).
 

Pelbagai jenis laluan selamat telah dibangunkan dan dipertimbangkan pelaksanaannya di Malaysia yang bergantung kepada topografi kawasan, jenis hidupan liar yang mendiami habitat tersebut, dan bajet.

Antara yang paling umum termasuklah:

  • Terowong Bawah Tanah (Underpass): Struktur ini dibina di bawah lebuh raya, membolehkan haiwan darat seperti gajah, tapir, babi hutan, dan reptilia melintas dengan selamat. Terowong ini selalunya direka menyerupai persekitaran semulajadi haiwan tersebut untuk menggalakkan penggunaannya.
  • Jejambat Ekologi (Eco-Viaduct/Overpass): Jambatan yang dibina melintasi lebuh raya, direka dan ditanam dengan tumbuh-tumbuhan menyerupai habitat asal. Struktur ini lebih sesuai untuk haiwan yang kurang selesa menggunakan terowong atau bagi menghubungkan kanopi hutan untuk pergerakan haiwan arboreal (yang bergerak di atas pokok) seperti monyet dan tupai.
  • Pembentung (Culvert): Meskipun sering digunakan untuk saliran air, culvert dengan saiz dan reka bentuk yang bersesuaian juga boleh berfungsi sebagai laluan lintasan untuk haiwan kecil dan sederhana.
  • Jejambat Kanopi: Khusus untuk haiwan arboreal, jejambat ini menghubungkan pokok-pokok di seberang jalan, selalunya menggunakan bahan seperti tali atau hos bomba terpakai.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here