Iklan Bonet Xiaomi SU7 ULTRA: Mahkamah China dapati wujud unsur penipuan

6

Mahkamah Rakyat Daerah Qinhuai Nanjing pada 20 November lalu telah menjalankan perbicaraan pembuktian dalam saman sivil China yang pertama melibatkan dakwaan syarikat Xiaomi yang mengelirukan pengguna.

Saman itu melibatkan dakwaan bahawa Xiaomi telah menggunakan frasa iklan yang mengelirukan, khususnya mengenai “bonet gentian karbon dengan saluran udara” bagi model kenderaan elektrik mewah mereka, SU7 Ultra, lapor Sina Finance.

Dalam perbicaraan tersebut, pasukan undang-undang Xiaomi telah mengemukakan pelbagai bukti teknikal termasuk laporan terowong angin dan dokumen lain.

Xiaomi berhujah bahawa kenyataan pengasas, Lei Jun di media sosial yang menjadi punca kekeliruan telah pun diperbetulkan sejurus selepas ia dimuat naik. Syarikat itu juga secara tegas mendakwa tiada niat subjektif untuk mengelirukan pembeli.

Namun, perbicaraan tersebut berakhir tanpa sebarang keputusan dikeluarkan.

Bonet Pilihan RM27,000 Didakwa Tidak Berfungsi

Isu utama berpunca daripada bonet SU7 Ultra yang ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada harga CNY 42,000 (RM27,500).

Menerusi iklan tersebut, komponen tersebut menyediakan aliran udara pada hab roda untuk penyejukan dan meningkatkan kecekapan.

Bagaimanapun, beberapa pemilik dan penguji bebas melaporkan bahawa bonet yang dipasang hanya memberikan aliran udara yang minimum, dan analisis teardown menunjukkan struktur dalamannya menyerupai bonet konvensional dengan pengurangan berat yang kecil.

Percanggahan ini telah mencetuskan aduan pengguna yang meluas dan tindakan mahkamah, dengan lebih 100 pemilik secara rasmi memfailkan saman dan beberapa ratus lagi mengambil bahagian dalam tindakan perlindungan hak pengguna.

Hujah Pembelaan Xiaomi

Semasa perbicaraan 20 November, pasukan undang-undang Xiaomi mengemukakan pelbagai pembelaan, termasuk:

  • Bonet itu bukan pilihan pembelian mandatori
  • Frasa di media sosial telah diperbetulkan dalam masa beberapa jam
  • Ujian teknikal dalaman menyokong fungsi komponen yang didakwa

Peguam plaintif dan pengulas berkata bahan teknikal itu akan diteliti bagi menentukan sama ada ia menyokong kenyataan promosi Xiaomi dan sama ada pembetulan yang dibuat mencukupi untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.

Isu-isu fakta utama masih belum diselesaikan dan mahkamah membiarkannya terbuka untuk pembuktian lanjut.

Keputusan Mahkamah Berasingan di Suzhou

Namun dalam perbicaraan berasingan, Mahkamah Rakyat Pertengahan Suzhou mengeluarkan keputusan peringkat kedua dalam satu saman berkaitan pada hari yang sama.

Mahkamah mengekalkan penghakiman terdahulu bahawa Xiaomi telah melakukan penipuan pengguna.

Mahkamah mengarahkan plaintif tunggal menerima:

  • Bayaran balik deposit CNY20,000 (RM13,100).
  • Ganti rugi berkanun CNY126,000 (RM82,500).
  • Yuran guaman CNY10,000 (RM6,550).
  • Jumlah keseluruhan CNY156,000 (kira-kira RM102,150).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here