Utama Berita Automotif 100 meter kabel lesap, perkhidmatan KTBM ke utara tergendala

100 meter kabel lesap, perkhidmatan KTBM ke utara tergendala

6

Kecurian kabel sepanjang 100 meter di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting, Perak menyebabkan gangguan sistem semboyan sekali gus menjejaskan operasi tren di sektor utara, pada Selasa.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kejadian itu dikesan polis bantuan KTMB pada awal pagi Selasa selepas melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Susulan insiden itu, KTMB mengesahkan beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara yang melalui laluan tersebut mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal.

“Antara perkhidmatan KTM Komuter Utara yang terjejas ialah tren No. 2902 dengan kelewatan sekitar 34 minit, No. 2904 (40 minit), No. 2903 (23 minit) dan No. 2905 (25 minit).

“Dalam masa sama, semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan berkenaan turut dijangka mengalami kelewatan, termasuk EP9121 selama 90 minit, EX9171 (21 minit), EP9323 (enam minit) dan EG9343 (tiga minit),” katanya dalam kenyataan hari ini.

KTMB menegaskan pihaknya memandang serius insiden kecurian kabel kerana ia bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah mengundang implikasi terhadap aspek keselamatan serta kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
 

Ketika ini, KTMB memaklumkan pasukan teknikalnya sedang giat melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan pergerakan tren kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

“Penumpang disarankan mendapatkan maklumat terkini berhubung status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB.

“Penumpang juga boleh merujuk kakitangan stesen bertugas bagi mendapatkan bantuan lanjut,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here