
Pemilik kenderaan kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk melakukan urusan pemeriksaan tukar hak milik (M.V.15) susulan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) oleh Carro Technology Sdn Bhd, pada Selasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata langkah memperluaskan akses perkhidmatan ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih pantas, berkualiti, dan efisien.
8 Cawangan Serentak Mulai 16 Jun
Menurut Anthony, pembukaan pusat pemeriksaan baharu ini bukan sahaja memberi lebih pilihan kepada orang ramai, malah bakal menjadi ‘penyelamat’ bagi mengurangkan kesesakan di pusat-pusat pemeriksaan sedia ada.
“Sebanyak lapan cawangan Carro akan mula beroperasi serentak bermula 16 Jun depan. Cawangan-cawangan ini bakal meliputi lokasi strategik di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor,” jelasnya.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk melakukan transformasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan automotif di negara ini.
Dengan adanya pemain industri seperti Carro yang membuka pusat pemeriksaan sendiri, ia secara tidak langsung mewujudkan ekosistem yang lebih kompetitif dan berorientasikan pelanggan.
Orang ramai kini boleh mula merancang urusan jual beli atau pertukaran hak milik kenderaan mereka di cawangan Carro yang berdekatan bermula pertengahan bulan depan.































