
“Saya tak malu pun malah seronok walaupun ada gelaran kerana realitinya, pekerjaan ini punca rezeki saya untuk menyara keluarga.”
Itu kata Dr Khairul Baqir AlKhair Khairul Amin, 35, atau mesra disapa Dr K yang memiliki Ijazah Bio Teknologi dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Bahan dan Teknologi namun mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing.
Dr K berkata dia pernah menimba pengalaman kerja selama enam tahun dalam dunia korporat sebagai penyelaras latihan dan penyelidik, ketua pegawai operasi dan pengurus besar di syarikat swasta.
Bagaimanapun, bapa tunggal kepada dua anak itu terjebak sebagai pemandu e-hailing sepenuh masa sejak empat bulan lalu selepas tamat kontrak kerja dan tidak menerima tawaran walaupun sudah banyak permohonan dihantar.

“Dulu saya bekerja dan menetap di Melaka namun tak lama selepas tamat kontrak sebagai pengurus besar, saya terus berhijrah ke Kuala Lumpur kerana dijanjikan kerja oleh seorang rakan.
“Tapi rezeki tak berpihak kepada saya apabila gagal dalam temu duga mungkin kerana terlebih kelayakan dan orang takut nak ambil sebab gaji sebelum ini tinggi.
“Saya pernah juga dipanggil menghadiri temu duga bagi jawatan perunding khidmat kewangan di sebuah bank tapi gagal juga kerana tiada pengalaman bekerja dalam sektor perbankan,” katanya.
Jelasnya, usaha memohon pekerjaan lain juga tidak berhasil kerana itu dia memilih bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Ikutkan, saya cari rezeki sebagai pemandu e-hailing sejak empat tahun lalu tapi dulu buat secara sambilan saja.
“Sekarang buat sepenuh masa dan e-hailing ini ibarat penyelamat saya selepas tak dapat kerja.
“Keluarga tak persoalkan malah kawan ‘teracun’ bila saya kongsi gaji… tak ada pun yang persoalkan dan saya pun seronok walaupun keluar bekerja jam 7 pagi dan pulang 12 tengah malam setiap hari,” katanya.

Dr K berkata, kerjaya sebagai pemandu e-hailing memberinya pengalaman baru dan peluang bertemu dengan individu daripada pelbagai latar belakang.
Menurut Dr K, ia juga memberinya peluang berehat daripada tekanan yang dihadapi ketika berkecimpung dalam dunia korporat.
“Dulu, saya kena berurusan dengan orang atasan dan uruskan kakitangan sampai mental hingga penat.
“Jadi, bidang e-hailing ini ibarat terapi buat saya malah sekarang hanya fikir nak bawa penumpang hingga sampai ke destinasi.
“Kerja ini beri peluang jumpa bermacam jenis penumpang, ada yang tahu dan tidak saya ada PhD.
“Kebanyakannya terkejut bila dapat tahu tapi mereka tak mempersoalkan atau menghakimi saya kerana tahu keperluan akibat keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Meskipun sudah menceburi dunia e-haling, Dr K enggan mensia-siakan kelulusan yang ada kerana berazam menjadi pensyarah.
“Saya sedang bina portfolio cuma belum dapat lagi peluang kerana saya memang nak pengalaman jadi pensyarah,” jelasnya.
































