Utama Berita Automotif Gagal bayar tambang, tiga remaja pukul, jerut pemandu e hailing

Gagal bayar tambang, tiga remaja pukul, jerut pemandu e hailing

11

Seorang pemandu e-hailing wanita cedera akibat dipukul dan dijerut di leher oleh tiga remaja yang mendakwa tidak mampu membayar tambang selepas menaiki kenderaan mangsa dalam kejadian berhampiran kawasan hutan di Kuala Sungai Baru di Alor Gajah, pada 14 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Ahmad Abu Bakar berkata mangsa berusia 41 tahun itu menerima tempahan perjalanan daripada empat penumpang masing-masing dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun dari Bukit Rambai ke pekan Kuala Sungai Baru pada kira-kira 12.30 tengah malam, hari yang sama.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian seorang daripada suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.

“Selang beberapa minit, tiga daripada suspek iaitu dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher mangsa dari arah belakang kerusi pemandu dan mengugut agar tidak meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seorang lagi suspek remaja lelaki tidak masuk ke dalam kereta kerana telah melarikan diri jauh dari tempat kejadian.

Ahmad berkata pemandu e-hailing berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebelum membuat laporan polis pada hari sama, selain mangsa turut mengalami kecederaan bengkak dan lebam pada beberapa bahagian badan serta kesan jerutan di leher.

Beliau berkata pemeriksaan perubatan turut mengesahkan kecederaan yang dialami mangsa adalah akibat diserang dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

“Kesemua empat remaja berkenaan berjaya ditahan pada petang hari sama dan direman hingga esok bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here