
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memulakan perkhidmatannya seawal pertengahan Disember ini bakal membuka peluang pendapatan baharu kepada penggiat industri e-hailing di Terengganu.
Pengerusi Persatuan E-Hailing Terengganu (PETA), Rozi A. Ghawi berkata pengoperasian ECRL akan menyaksikan peningkatan pergerakan penumpang dan pelancong ke negeri itu menggunakan perkhidmatan awam darat, yang seterusnya akan mewujudkan permintaan baharu terhadap perkhidmatan e-hailing.
Kini, pemandu e-hailing di Terengganu banyak bergantung pada pelanggan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (di Kuala Nerus), di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan jeti-jeti pelancongan.
“Justeru, dengan adanya ECRL nanti dijangka menjadi satu lagi pusat tumpuan penumpang yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan sambungan untuk mereka sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata antara stesen ECRL yang bakal menjadi tumpuan ialah Stesen Kuala Terengganu yang terletak di Kampung Durian Guling dekat Marang berikutan kedudukannya kira-kira 20km dari pelbagai lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Payang, Masjid Kristal, Jeti Marang untuk ke Pulau Kapas dan Jeti Shahbandar untuk ke Pulau Redang.
Sehubungan itu, Rozi berkata PETA mencadangkan supaya kerajaan dan pihak berkaitan menyediakan lokasi khas serta strategik untuk pemandu e-hailing menunggu pelanggan bagi memastikan suasana yang lebih teratur di stesen-stesen ECRL.
“Kalau tengok sekarang, misalnya di lapangan terbang, tidak ada kawasan khas untuk kita (pemandu e-hailing) menunggu penumpang, jadi kita akan berada di merata-rata tempat seperti di bawah pokok dan sebagainya. Bagi saya, pemandangan sebegitu kurang cantik,” jelasnya.
KERAJAAN CAMPUR TANGAN DALAM TENTUKAN HARGA SILING
Dalam pada itu, Rozi berkata PETA yang mempunyai lebih 60 ahli aktif berharap kerajaan campur tangan dalam menentukan harga siling perkhidmatan e-hailing yang kini dikawal sepenuhnya oleh syarikat penyedia platform, selaras dengan perkembangan sektor pengangkutan awam dan kos operasi semasa.
Kebanyakan pemandu memperoleh pendapatan kira-kira RM100 hingga RM200 sehari, namun jumlah itu termasuk kos perbelanjaan harian, penyelenggaraan kereta, insurans dan sebagainya yang terpaksa ditanggung pemandu.
“Kini, harga siling adalah antara RM3.20 hingga RM3.70 bagi perjalanan minimum 3km ke bawah. Bagi kami, tambang yang di bawah RM5 ketika ini kurang munasabah berbanding kos sebenar yang perlu dikeluarkan pemandu,” katanya.
Bagi pemandu e-hailing Mohd Azizie Majid, 44, berharap pengoperasian ECRL nanti akan membolehkannya tidak lagi perlu berhijrah ke Kuala Lumpur dan berjauhan dengan keluarga untuk mencari pendapatan lebih bagi menampung kos kehidupan.
“Bagi pemandu yang tiada pendapatan lain seperti saya, kami perlu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pendapatan lebih memandangkan anak-anak saya berusia 17 hingga lima tahun masih bersekolah, manakala isteri pula seorang suri rumah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak 2021.
ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, dengan perjalanan Gombak-Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira tiga jam, manakala perjalanan Gombak-Kota Bharu sekitar empat jam.
Pembinaan jajaran ECRL di Terengganu meliputi jarak sepanjang 242km dan merangkumi enam stesen, iaitu Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri dan Jertih.































