
Tindakan sebuah syarikat mengarahkan seorang pemandu tempatan membawa muatan perkakas rumah bertukar padah apabila lori kargo am Daihatsu itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, pada Rabu.
Menurut kenyataan pada Khamis, lori berkenaan yang melakukan lima kesalahan serentak ditahan anggota penguat kuasa JPJ Cawangan Sungai Petani menerusi Operasi Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di KM1, Jalan Lencongan Barat–Jalan Sungai.
“Pemeriksaan anggota penguat kuasa JPJ Cawangan Sungai Petani mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans telah tamat tempoh, selain pemeriksaan berkala Puspakom tamat tempoh.
“Lebih mengejutkan, pemandu turut didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam/Lesen GDL yang sah bagi mengendalikan kenderaan tersebut,” jelasnya.
Selain itu, pemandu berkenaan menjelaskan hanya mengambil upah secara harian daripada sebuah syarikat dan diarahkan membawa barangan perkakas rumah ke Tikam Batu, Sungai Petani.
Susulan kesalahan tersebut, anggota penguat kuasa mengeluarkan Notis Saman P22 dan Notis Sita di bawah Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebelum lori berkenaan dibawa ke Depoh Sita JPJ Cawangan Sungai Petani untuk tindakan lanjut.
































