Video: Xiaomi SU7 Ultra catat 7 minit 4.95 saat di Litar Nurburgring

17

Tidak sampai dua tahun, gergasi elektronik China Xiaomi sudah pun mencatatkan pencapaian di luar jangkaan ramai pihak.

Pada Oktober tahun lepas, Xiaomi mengumumkan catatan masa 6 minit 46.8 saat di Litar Nurburgring dengan menggunakan sebuah model prototaip SU7.

Namun, dengan menggunakan unit produksi SU7 Ultra yang sebenar, sedan elektrik pantas itu berjaya merekodkan catatan masa 7 minit 4.95 saat, menjadikannya lebih pantas berbanding Porsche Taycan Turbo GT.

Malah, SU7 Ultra juga memadamkan rekod Rimac Nevera daripada mendahului senarai EV produksi terpantas di laluan sepanjang 20.8 km tersebut (catatan masa 7 minit 5.29 saat).

Namun dalam kategori kenderaan produksi terpantas, rekod tersebut masih lagi dipegang oleh Mercedes-AMG One dengan catatan masa 6 minit 29 saat yang dibuat pada tahun lepas.

Rekod pusingan yang lebih pantas pula dipegang oleh jentera lumba Porsche 919 Hybrid Evo, dengan catatan masa 5 minit 19.55 saat.

Dalam video yang baru sahaja dimuat naik di YouTube, ia memaparkan SU7 Ultra mencapai kelajuan tertinggi 346 km/j, menjadikannya sedan produksi terpantas memadamkan rekod Maserati Ghibli 334 Ultima.

Namun menurut Xiaomi, sedan itu berkeupayaan untuk mencecah kelajuan melebihi 350 km/j, terima kasih kepada tetapan tiga motor elektrik berkuasa 1,527 hp yang mampu memecut sepantas 1.98 saat dari pegun ke 100 km/j.

Video rakaman penuh Xiaomi SU7 Ultra mengelilingi Litar Nurburgring boleh ditonton pada pautan di bawah:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here