Konvoi kahwin mewah Xiaomi SU7 berakhir dengan perlanggaran berantai

330

Pada 25 Mei yang lalu, empat buah kereta sedan Xiaomi SU7 terlibat dalam satu kemalangan berantai di Hefei, Wilayah Anhui, China.

Kenderaan tersebut merupakan sebahagian daripada konvoi perkahwinan, malang tidak berbau apabila kereta elektrik (EV) itu merempuh bahagian belakang antara satu sama lain lalu tular di platform media sosial China.

Menurut saksi mata dan video yang tersebar luas di Weibo, kemalangan berlaku apabila kenderaan utama dalam konvoi SU7 itu membrek secara mengejut, menyebabkan rentetan rempuhan dari belakang.

Kejadian itu berlaku di jalan bandar pada waktu siang. Walaupun kenderaan mengalami kerosakan yang ketara di bahagian depan dan belakang, tiada kecederaan dilaporkan.

Semua penumpang dan pemandu disahkan selamat, dan kemalangan itu dikategorikan sebagai insiden lalu lintas kecil.

Bagaimanapun, kecelakaan itu dengan pantas menjadi topik trending di Weibo dan Douyin (versi TikTok di China) yang mana pengguna berkongsi meme, reaksi, dan rakaman amatur kemalangan tersebut.

Ramai warga maya bergurau tentang situasi itu, menggelarnya sebagai “majlis bahagia bertukar duka,” sementara sebahagian menyatakan kelegaan dengan ungkapan seperti “pecah berkecai membawa damai” (碎碎平安).

Beberapa hantaran mempersoalkan sama ada sistem brek kecemasan autonomi (AEB) Xiaomi gagal diaktifkan, tetapi tiada bukti yang mengaitkan kemalangan itu dengan kerosakan teknikal.

Sebaliknya, ramai menyatakan kemungkinan punca kejadian disebabkan konvoi secara rapat dan kurangnya komunikasi.

Xiaomi SU7 baru-baru ini melonjak popularitinya sebagai kenderaan konvoi perkahwinan kerana reka bentuknya yang bergaya, tarikan EV, dan pelbagai pilihan warna.

Sering digunakan untuk menggantikan jenama mewah tradisional seperti Audi, BMW, dan Porsche, SU7 telah menjadi model pilihan untuk rombongan perkahwinan moden.

Dalam kemalangan rempuhan belakang melibatkan banyak kereta, undang-undang lalu lintas China biasanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu di belakang kerana tidak menjaga jarak selamat.

Pakar keselamatan dan pihak berkuasa trafik mengesyorkan agar konvoi perkahwinan mengamalkan protokol jarak yang lebih selamat, menggunakan alat komunikasi dalam kereta seperti walkie-talkie, dan mengelakkan daripada terlalu mengutamakan impak visual sehingga mengorbankan keselamatan pemanduan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here