
Sebuah Chery Tiggo musnah hampir 60 peratus dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan di Changkat Cermin, Ayer Tawar di Beruas, pada Isnin.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar pada jam 4.55 petang melibatkan lima mangsa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kemalangan melibatkan Proton X50, Proton Inspira, Chery Tiggo serta dua unit Proton Wira.

“Insiden ini mengakibatkan seorang wanita yang memandu Proton X50 mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah beliau, empat lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Anggota yang tiba di lokasi menjalankan kerja pemadaman ke atas kenderaan yang terbakar menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota itu berjaya dikawal jam 5.53 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang. Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.































